ZUR EDA
ZUR EDA
Norhayati Nordin

Mampu bertahan dalam industri seni tanah air dengan tiga lagu popular boleh dianggap satu pencapaian hebat penyanyi era 1980-an, Zur Eda.

Cukup dikenali melalui lagu Pelitaku, Lama Tak Jumpa dan Kelmarin, Zur Eda atau Zuraida Mokhtar, 51, masih kekal berentap untuk persaingan minggu kelima program Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) di Astro.

Selain masih bertahan dalam karier, Zur Eda juga bahagia melayari rumah tangga bersama suami tercinta, Zulkifli Mohd Yusoff, 54.

Zulkifli adalah pemuzik dan mereka mula mengenali ketika Zur Eda menyanyi di kelab Black Jack pada 1984. Pasangan sejoli ini sepakat menamatkan zaman solo pada 14 Ogos 1985 selepas setahun berkenalan. Diam tak diam sudah 32 tahun mereka hidup bersama.

Berkongsi tip melayari rumah tangga lebih tiga dekad, Zur Eda akui dalam perkahwinan ada pasang surutnya.

Katanya, sebagai isteri penting untuk sentiasa menghormati suami dan apa saja keputusan perlu berbincang bersama.

“Sikap mempercayai antara satu sama lain juga penting dan saya bertuah kerana suami sangat memahami. Sikap hormat seorang isteri pada suaminya mestilah tinggi. Termasuk sentiasa menjaga nama baik dan maruah suami.

“Saya mengutamakan izin suami. Apa saja yang mahu dilakukan dan ke mana saya pergi, pasti dengan izin suami,” katanya.

Zur Eda akui bertuah kerana suaminya tidak mengongkong tetapi dia tahu kedudukan dirinya dan akan memberitahu di mana dia berada.

“Kalau sibuk dengan undangan persembahan nyanyian sekalipun, saya akan pastikan menghubungi suami untuk maklumkan sudah selamat tiba di lokasi,” katanya.

Hasil perkahwinan dibina, Zur Eda dan suami dikurniakan dua cahaya mata, Siti Sarah, 27, dan Mohd Naqib, 20.

Bagi Zur Eda, suami adalah tulang belakang yang banyak memberi semangat dan dorongan kepadanya selama ini.

Jatuh bangunnya dalam karier, suami terus setia dan senantiasa di sisi. Susah senang mereka lalui bersama.

Jika menyedari suaminya dalam keadaan emosi kurang baik dan marah, Zur Eda memilih pendekatan berdiam diri. Baginya itu lebih baik daripada bertanya dan akan memburukkan lagi keadaan.

“Dalam hubungan suami isteri ini, perlu ada sikap memberi dan menerima kerana sebagai manusia kita tidak sempurna.

“Mana yang kurang pada suami atau isteri, sewajarnya masing-masing harus menjadi pelengkap antara satu sama lain.

“Walaupun sudah 30 tahun hidup bersama, proses belajar memahami pasangan tidak pernah berhenti. Setiap hari ada saja perkara baru mengenai pasangan yang perlu disedari dan difahami,” katanya.

Pernah mendapat jolokan ‘Sade Malaysia’, Zur Eda dan suami juga saling membantu menguruskan anak mereka ketika kecil. Walaupun sibuk dengan kerja menyanyi dan bermain muzik, tanggungjawab pada anak tidak diabaikan.

“Kami sepakat menjaga anak bersama dan membawa mereka ke mana saja undangan persembahan disertai. Secara tidak langsung, hubungan kekeluargaan kami empat beranak sangat erat dari dulu sampai sekarang,” katanya.

Pada awal Oktober lalu, Zur Eda dan suami menerima kehadiran menantu sulung apabila Siti Sarah bertemu jodoh.

Mengenai penampilan dan gayanya, Zur Eda selesa memilih pakaian sesuai dan mengikut tema majlis.

Bagi penjagaan kesihatan pula, Zur Eda akui apabila usia makin meningkat sudah pasti pengambilan makanan diutamakan.

Katanya, dia memang menjaga pemakanan harian dan memastikan bersenam untuk menjaga stamina.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2016 @ 5:04 AM