GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap

Jempol: Seorang ejen insuran bukan sahaja mengalami kerugian RM41,964 selepas ditipu dalam pembelian kereta atas talian malah turut diugut.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa berurusan melalui aplikasi WhatsApp untuk membeli sebuah kereta selepas melihat iklan di Facebook pada 25 April lalu.

Katanya, mangsa bersetuju untuk membeli sebuah Toyota Estima dengan harga RM62,500.

"Mangsa kemudian membuat 16 kali bayaran berjumlah RM41,964.20 dengan pemindahan wang secara dalam talian ke lapan akaun bank berlainan bermula 2 hingga 8 Mei lalu.

"Pada 9 Mei lalu, seorang lelaki dari syarikat menjual kereta berkenaan meminta pengadu membuat bayaran yuran peguam berjumlah RM6,000 namun mangsa enggan membuat bayaran," katanya.

Hoo berkata, selepas mangsa enggan membuat bayaran itu, dia kemudian menerima pesanan suara menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki yang mengugut mahu mengancam keselamatannya dan keluarga.

Katanya, suspek juga mengancam mahu menyebarkan maklumat mangsa dan isterinya di Facebook.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Bahau pada jam 10 malam tadi selepas bimbangkan keselamatan diri dan keluarga," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mei 2024 @ 12:54 PM