LEE (dua dari kanan) menunjukkan kamera terbaru keluaran SME pada majlis pelancarannya, semalam.
LEE (dua dari kanan) menunjukkan kamera terbaru keluaran SME pada majlis pelancarannya, semalam.

Kuala Lumpur: Samsung Malaysia Electronics (SME) menampilkan revolusi kamera sistem kompak (CSC) menerusi model NX1 yang dilengkapi sensor APS-C BSI CMOS 28 megapiksel dan pemproses berkuasa tinggi DRIMe V untuk menghasilkan imej lebih berkualiti serta mengurangkan ‘noise’ pada gambar.

Naib Presiden, Mudah Alih, IT dan Imejan Digital, SME, Lee Jui Siang berkata NX1 menggabungkan reka bentuk terkini dengan teknologi serta kepakaran inovasi Samsung untuk menjadikannya sebagai satu penanda aras baru industri selain menyediakan alternatif tulen ke atas kamera DSLR.

“Pelancaran NX1 membuktikan keupayaan Samsung untuk menilai semula apa yang boleh dimanfaatkan ke atas kamera dengan lensa boleh ditukar-tukar, membolehkan setiap jurugambar mencapai tahap kualiti dan kepakaran yang tidak mampu digapai sebelum ini,” katanya pada majlis pelancarannya di sini, semalam.

Kamera dengan kerangka aloi magnesium ini lebih ringan dan berupaya merakam imej pada kelajuan 15 FPS dengan sistem fokus automatik yang unik di samping menyokong rakaman video 4K Ultra HD.

Lebih menarik kamera ini merakam video dalam format H.265 yang menjimatkan ruang penstoran tanpa mengganggu kualiti visual.

Dijual pada harga RM4,699 (badan saja) dan RM8,699 berserta lensa 16-50mm F2-2.8, NX1 adalah produk yang menjanjikan kepuasan optimum melalui aplikasi teknologi canggih dan kompak.

Bagi peminat selfie dan mereka yang gemar memindah naik gambar di laman sosial pula, kamera ini turut dilengkap sistem penyambungan Bluetooth dan WiFi untuk berhubung dengan peranti lain malah boleh dikawal menggunakan aplikasi telefon pintar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 8:01 AM