SAMSUNG memberi nafas baharu dalam skrin pelindung apabila ia dijadikan skrin paparan kedua, sekali gus memudahkan pengguna.
SAMSUNG memberi nafas baharu dalam skrin pelindung apabila ia dijadikan skrin paparan kedua, sekali gus memudahkan pengguna.
Muhammad Saufi Hassan


PERANTI dengan skrin boleh lipat. Ia bukan saja menampilkan gaya 'minimalis' sebaliknya peranti akan lebih kompak, elegan dan bergaya dengan kefungsian berkenaan.

Menerusi empat generasi sebelumnya, peranti ini sudah membuktikan bahawa segmen kepenggunaan skrin boleh lipat adalah relevan untuk pasaran telefon pintar, malah memberi dimensi baharu kepada peranti.

Untuk itu, Samsung meneruskan kejayaannya dengan pengenalan Samsung Galaxy Z Flip5 yang baharu yang dikuasakan dengan spesifikasi serba baharu termasuk beberapa penambahbaikan yang dilaksanakan untuk ketahanan serta pengalaman kepenggunaan paling optimum.

Menerusi pandang pertama ini, rekaan luaran mirip dengan generasi terdahulu iaitu Galaxy Z Flip4, namun Samsung bijak memberi naik taraf skrin yang lebih besar untuk generasi terbaharu ini.

Ia merujuk kepada skrin paparan depan yang lebih besar berbanding Galaxy Z Flip4 dan yang paling ketara adalah tiada lagi 'ruang kosong' jika peranti dilipat sepenuhnya.

Selain itu, penambahbaikan yang diterima oleh Galaxy Z Flip5 ini adalah padanan kamera yang lebih baik iaitu sistem lensa sudut lebar dan ultra lebar bersama-sama dengan padanan cip pemproses termaju daripada Qualcomm Snapdragon 8 Gen 2 sesuai untuk peranti kelas perdana.

Mungkin bagi sesetengah individu, 'tidak perlu' menukar peranti daripada Galaxy Z Flip4 kepada Flip5, namun penulis berasakan bahawa penukaran peranti itu 'wajib'. Ini adalah peranti yang paling banyak menerima penambahbaikan daripada generasi terdahulu.

Untuk saiz skrin bukaan penuh, Galaxy Z Flip5 ini berukuran 6.7 inci dengan paparan OLED bersama-sama teknologi 'Dynamic Refresh Rate' pada kadar 120Hz.

Berdasarkan pemerhatian pandang pertama, Galaxy Z Flip5 ini mampu memenuhi segala keperluan khususnya pengguna yang gemar kepada peranti 'minimalis' kompak dan elegan.

Peranti ini memenuhi semua elemen berkenaan, malah daripada sudut prestasi, Galaxy Z Flip5 ini jauh meninggalkan 'abangnya' iaitu Galaxy Z Flip4 sama ada untuk pengujian penanda aras mahupun mutu pengalaman permainan.

Kamera untuk peranti ini juga berupaya merakam sebarang jenis bentuk pencahayaan termasuk malam dengan baik tanpa menjejaskan kualiti imej.

Untuk pandang pertama ini, peranti Samsung Galaxy Z Flip5 berkenaan memenuhi semua elemen bagi peranti skrin boleh lipat, malah penambahbaikan yang dilakukan Samsung adalah tepat pada masanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 6:45 AM