TAUPIK (empat dari kiri) di majlis pelancaran Kejohanan Badminton Tertutup Projek Jejak Juara Kuala Lumpur 2024 di Akademi Badminton Malaysia di sini. -FOTO Ihsan KLBA
TAUPIK (empat dari kiri) di majlis pelancaran Kejohanan Badminton Tertutup Projek Jejak Juara Kuala Lumpur 2024 di Akademi Badminton Malaysia di sini. -FOTO Ihsan KLBA
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) berharap mampu menarik jumlah penyertaan sama seperti tahun lalu dengan lebih 3,500 peserta akan menyertai Kejohanan Badminton Tertutup Projek Jejak Juara Kuala Lumpur 2024 yang berlangsung pada 10-15 Jun di Arena Badminton Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Cheras.

Menurut Timbalan Presiden KLBA, Mohd Taupik Hussain badan induk itu akan menawarkan hadiah berupa medal, sijil dan hadiah iringan daripada penaja bersama kepada pemenang setiap kategori yang dipertandingkan pada kejohanan itu.

"Kejohanan ini membabitkan persaingan bagi kategori perseorangan lelaki dan perempuan dengan kumpulan umur bawah 8 tahun, 10 tahun, 12 tahun, 14 tahun, 16 tahun dan 18 tahun," katanya selepas majlis pelancaran kejohanan itu di Akademi Badminton Malaysia di sini.

Ujarnya, mereka mensasarkan sebagaimana tahun lalu berjaya mengumpulkan hampir 3,500 orang pemain.

"Harapan kami jika tidak dapat menempatkan jumlah berkenaan, kita sasarkan dalam 2,500 ke 3,000 pemain akan bermain untuk kali ini.

"Kita harus ambil maklum sebab kali ini tempoh kejohanan dipendekkan sikit sebab sebelum ini kami buat dalam sembilan tapi kali ini hanya lima hari," katanya.

Projek Jejak Juara ini adalah program 'blue print' KLBA di mana projek ini mempunyai empat elemen utama iaitu 'Development, Tournament, President Scholarship dan KL International Badminton Academy'.

Empat elemen itu menjadi teras utama kepada Projek Jejak Juara untuk menjadi satu program pembangunan yang menyeluruh dan sistematik dalam pembangunan dan kecemerlangan sukan badminton Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, KLBA turut berterima kasih di atas kerjasama diberikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MSSWPKL) bagi menjayakan program ini serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut memainkan peranannya dalam menyediakan platform terutama gelanggang pertandingan yang kondusif bagi penganjuran kejohanan Tertutup Projek Jejak Juara Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2024 @ 2:17 PM