PELBAGAI aktiviti dan khidmat NASOM untuk bantu penghidap autisme.
PELBAGAI aktiviti dan khidmat NASOM untuk bantu penghidap autisme.
HASIL kraftangan menarik yang bukan saja turut dipamerkan malah dijual bagi membantu menyokong aktiviti NASOM.
HASIL kraftangan menarik yang bukan saja turut dipamerkan malah dijual bagi membantu menyokong aktiviti NASOM.
PESERTA kempen ‘Love Mud with Austism’ gembira menerima sijil penyertaan masing-masing.
PESERTA kempen ‘Love Mud with Austism’ gembira menerima sijil penyertaan masing-masing.
Nor Faizah Mohamed


Sukar, mustahil dan tiada peluang untuk sembuh. Ia antara beberapa komentar di laman sosial kala isu autisme diketengahkan.

Nyata komen itu menunjukkan betapa ceteknya pemahaman sebahagian masyarakat Malaysia mengenai penghidap autisme ini.

Autisme dihidapi kira-kira satu peratus daripada penduduk dunia dan berdasarkan statistik dikeluarkan Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), satu daripada 68 kanak-kanak dilahirkan dengan keadaan itu.

Ketika ini usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai autisme giat dianjurkan di seluruh dunia dan menampilkan pelbagai aktiviti untuk menyalurkan ilmu kepada guru, pekerja kesihatan serta ibu bapa cara yang sesuai atau efektif dalam mengendalikan penghidap autisme.

Apakah sebenarnya autisme? Autisme ialah masalah perkembangan sepanjang hayat yang memberi kesan kepada cara individu terbabit berinteraksi dengan persekitarannya selain daya kemahiran sosial dengan orang lain.

Segelintir penghidap autisme masih boleh menjalani kehidupan normal. Bagaimanapun, sesetengah lain berhadapan kesukaran, cabaran dan memerlukan sokongan pakar secara berterusan.

Cabaran utama bagi penghidap autisme merangkumi komunikasi sosial, interaksi sosial, sikap tertumpu pada sesuatu saja serta perlakuan dan minat yang berulang-ulang.

Rawatan konsisten dikenal pasti sebagai langkah penting untuk memastikan masa depan terbaik buat kanak-kanak autisme selain menggalakkan masyarakat menerima golongan itu dengan terbuka.

Malangnya, individu dewasa autisme sering berhadapan dengan diskriminasi yang wujud akibat kurangnya pengetahuan mengenai autisme ini.

Sikap toleransi yang biasanya ditunjukkan kepada kanak-kanak autisme, kurang atau langsung tiada pada individu dewasa yang turut berada dalam keadaan sama.

Keadaan itulah yang cuba diubah Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) menerusi pelbagai aktiviti serta kempennya hampir setiap bulan.

Menerusi kempen terkini bersama Jabatan Muzium Malaysia, penyertaan golongan autisme amat digalakkan dan mereka diberi peluang memperlihatkan kreativiti dalam persekitaran yang tenang serta selesa.

Program ‘Love Mud with Austism’ yang diadakan di Muzium Negara, Kuala Lumpur, minggu lalu memberi peluang kepada golongan autisme khususnya kanak-kanak menunjukkan bakat dalam bidang seni antaranya koir, menghasilkan tembikar, lukisan dan sebagainya.

Pada era ini, muzium bukan lagi dilihat sebagai entiti yang menyimpan, menyelidik dan mempamerkan koleksi lama bagi tujuan mendidik khalayak umum saja.

Muzium kini berperanan sebagai ejen perubahan sosial yang perlu bertindak balas dengan masyarakat menerusi penganjuran pelbagai jenis aktiviti sosial yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.

Dalam erti kata lain, muzium perlu menawarkan pelbagai perkhidmatan yang bersesuaian dengan persekitaran sosial mereka supaya dapat kekal relevan dengan perubahan keperluan sosial dan jangkaan atau harapan masyarakat.

Kempen yang bermula pada Mac lalu menyaksikan peserta mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti bengkel seperti penghasilan tembikar, lukisan dan ceramah kesedaran.

Sebanyak 30 tembikar berjaya dihasilkan dan dipamerkan di ruang Dewan Tengah Muzium Negara.

Pada masa sama, lukisan dan hasil kraftangan daripada pelajar serta golongan dewasa autisme turut dipamerkan di beberapa pusat NASOM seluruh Malaysia.

Bagi membantu masyarakat lebih memahami dan membantu golongan autisme ini, ceramah kesedaran kendalian Rusmawati Abdullah berjaya mencuri tumpuan.

Rusmawati yang berkhidmat lebih 17 tahun di NASOM berkongsi pengalamannya mengendalikan individu autisme dan memberi tip kepada masyarakat bagaimana cara yang betul untuk memberi maklum balas kepada kelakuan serta reaksi individu terbabit.

Kemuncaknya ialah majlis penutup dengan persembahan koir daripada sekumpulan kanak-kanak autisme yang berjaya menarik tumpuan pengunjung muzium.

Majlis ini tidak ketinggalan bertindak sebagai platform untuk khalayak menyokong aktiviti NASOM menerusi pembelian karya tembikar, kraftangan dan lukisan yang dihasilkan sepanjang kempen itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 September 2016 @ 5:03 AM