KANAK-KANAK daripada kumpulan koir Nasom Maestro menyampaikan nyanyian dengan penuh penghayatan.
KANAK-KANAK daripada kumpulan koir Nasom Maestro menyampaikan nyanyian dengan penuh penghayatan.

Walaupun kanak-kanak autistik kelihatan berbeza daripada kanak-kanak normal dari segi perlakuan dan juga tingkah laku, apabila diberikan kasih sayang dan sokongan mereka mampu menonjolkan kebolehan diri serta boleh menjadi juara. Sempena Bulan Kesedaran Autisme yang disambut di seluruh dunia setiap April, Champs melancarkan kempen Setiap Anak Adalah Juara Tersendiri dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom).

Kempen ini juga bagi memperingati ulang tahun ke-30 Nasom yang ditubuhkan pada 1987. Kempen yang berlangsung dari April hingga Jun 2017 ini bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap autisme yang dikaitkan masalah gangguan neurologi kepada masyarakat. Pada 2014, statistik menunjukkan kira-kira 47,000 rakyat Malaysia tergolong dalam autisme dan angka ini meningkat tiga peratus setiap tahun.

Menurut Pengerusi CCM Duopharma Biotech Berhad (CCMD) Datuk Normala Abdul Samad, pihaknya gembira kerana dapat bekerjasama dengan Nasom untuk tahun kedua bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.

“Menerusi kempen ini kami berharap dapat meningkatkan kesedaran dan kefahaman terhadap gangguan neurologi ini. Dengan sokongan dan penjagaan yang sewajarnya, kami percaya kanak-kanak autistik juga boleh mencapai impian mereka,” katanya.

Sempena kempen ini, syarikat akan menganjurkan kutipan derma untuk membantu menampung aktiviti Nasom dan meluaskan program intervensi awal. Orang ramai boleh menyokong inisiatif ini dengan membeli makanan tambahan kesihatan Champs atau dengan hanya memuat naik gambar keluarga ke Instagram sebagai lambang kesedaran.

Untuk setiap botol yang dibeli atau setiap gambar yang dimuat naik ke Instagram, dengan hashtag #mychampionsnasom, sepanjang tempoh kempen, Champs akan mendermakan 50 sen kepada Nasom dengan harapan mampu mengumpul RM50,000.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CCMD Leonard Ariff Abdul Shatar, syarikatnya gembira kerana dapat menyokong usaha Nasom untuk membantu memenuhi keperluan kanak-kanak autistik dan juga dewasa yang mengalami masalah perubatan sama di negara ini.

“Sebagai jenama makanan tambahan kanak-kanak, Champs menyokong kesejahteraan pemakanan kanak-kanak selama lebih 34 tahun. Kami amat menghargai sokongan berterusan yang diberikan pengguna selama ini dan ingin membalas budi mereka dengan membantu masyarakat di sekeliling kami. Kami berharap kempen ini akan menambah pengetahuan umum mengenai autisme dan menarik orang ramai untuk tampil membantu usaha amal ini,” katanya.

Pengerusi Nasom Feilina SY Muhammad Feisol menghargai usaha CCMD kerana meneruskan kerjasama melalui kempen ini.

“Tahun ini sangat penting kerana ulang tahun ke-30 Nasom.

“Oleh itu kami teruja dengan sokongan yang ditunjukkan syarikat korporat dan orang ramai dengan mengaturkan banyak aktiviti. Kempen bersama Champs melengkapkan usaha membantu kami mencapai misi meningkatkan kesedaran terhadap autisme,” kata Feilina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 10:25 AM