PELAJAR yang mengikuti pembelajaran di Pusat NASOM. FOTO ihsan NASOM
PELAJAR yang mengikuti pembelajaran di Pusat NASOM. FOTO ihsan NASOM

Kuala Lumpur: Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) berharap mampu meningkatkan kesedaran dan penerimaan orang ramai terhadap autisme yang menjejaskan ramai individu dan keluarga menerusi Hari Kesedaran Autisme Sedunia (WAAD).

WAAD diadakan sejak 28 Mac lalu menerusi penganjuran pelbagai program sama ada secara langsung atau atas talian di seluruh negara.

Presiden NASOM, Datuk Megat Ahmad Shahrani Megat Sharuddin berkata, pandemik Covid-19 mengganggu operasi tempat pembelajaran di Pusat NASOM dan menjejaskan pelajar.

"Ramai pelajar kami yang terjejas namun NASOM akan terus memberi tumpuan memastikan pendidikan berkualiti, inklusif dan saksama serta mempromosikan peluang pembelajaran sepanjang hayat.

"Ini bagi memastikan pelajar kami dapat berusaha memaksimumkan potensi mereka dan mencapai kejayaan yang mampan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi NASOM, Julian Wong berkata, melalui pelbagai perkongsian dan sokongan, masyarakat akan mengiktiraf bahawa penghidap autisme mempunyai hak mendapatkan pendidikan berkualiti sama dengan orang lain.

"Justeru, kami menggalakkan lebih banyak organisasi tampil untuk bekerjasama bagi meningkatkan kualiti kehidupan mereka yang menghidap autisme," katanya.

Beliau berkata, NASOM bekerjasama dengan lebih 20 organisasi tahun ini termasuk syarikat swasta, agensi kerajaan, universiti, pusat membeli-belah dan perniagaan kecil untuk mendidik orang ramai mengenai autisme.

"Pameran seni, ceramah, bazar, crowdfunding dan pertandingan bakat membabitkan kanak-kanak autisme, ibu bapa dan guru antara acara yang akan diketengahkan tahun ini.

"Mereka yang ingin menyokong inisiatif NASOM boleh layari www.nasom.org.my untuk maklumat lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 4:23 PM