ROMLY (empat kanan) bersama Salmah (tiga kanan) meraikan kejayaan Abdul Latif. FOTO Amran Hamid
ROMLY (empat kanan) bersama Salmah (tiga kanan) meraikan kejayaan Abdul Latif. FOTO Amran Hamid
Aizat Sharif


Arau: "Pada mulanya, kami sekadar berharap agar dia dapat menimba pengalaman berguna ketika bertanding di sana (Rio) sahaja tetapi tidak menyangka pula, dia mengharumkan nama negara dengan meraih emas malah mencipta rekod dunia."

Itulah luahan Salmah Yatim, 58, ibu kepada atlet paralimpik negara, Abdul Latif Romly, 19, selepas atlet lompat jauh yang berasal dari Bukit Keteri, Perlis itu memecahkan rekod dunia dengan catatan lompatan 7.60 meter dan sekaligus meraih pingat emas yang ketiga untuk Kontinjen Malaysia dalam Sukan Paralimpik 2016 di Rio.

Salmah yang ditemani suaminya, Romly Mat, 65, serta dua anak dan menantunya menyaksikan aksi Abdul Latif bersama bekas Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Arau di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Arau di Kubang Gajah, Arau malam tadi.

"Saya seakan tidak percaya bahawa anak saya yang dahulunya agak nakal dengan karenahnya kini menjadi wira negara dan kami sungguh terharu dengan pencapaiannya.

“Kami berharap dia dapat menjaga dirinya dengan baik walaupun sudah bergelar juara dunia," katanya.

Suasana di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Arau, Kubang Gajah malam tadi juga agak bergemuruh dengan laungan semangat kira-kira 30 penyokong yang datang dari pelbagai daerah Arau yang merayakan kejayaan Abdul Latif itu.

Persembahan konsisten yang ditampilkan Abdul Latif dalam acara lompat jauh bagi kategori T20 menyebabkan dia bukan sahaja mendahului tetapi menjarakkan diri daripada 12 peserta negara lain sejak awal pusingan.

Malah, lompatannya yang kedua, ketiga dan kelima mencipta rekod dunia.

Berita berkaitan:

Satu lagi emas! Syabas!

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 September 2016 @ 9:19 AM