ABDUL Latif Romly.
ABDUL Latif Romly.
BERNAMA

SELEPAS berjaya mencipta rekod dunia menerusi acara lompat jauh T20 pada temasya Sukan Para Asia dua tahun lepas, atlet elit paralimpik negara, Abdul Latif Romly sekali lagi melakar impian untuk memecah rekod dunia pada temasya Sukan Paralimpik Tokyo 2020 bermula Ogos ini.

Atlet kelahiran Perlis itu berkata, kejayaannya sebelum ini membakar semangat dan memberi lebih keyakinan mencipta kejayaan lebih besar musim ini.

“Misi saya di Tokyo bukan hanya ingin raih pingat emas sebaliknya saya mahu pecah rekod di sana,” katanya, baru-baru ini.

Dia berkata sebagai pemenang pingat emas pada Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia, dia perlu terus fokus agar dapat melakukan pencapaian lebih baik pada Sukan Paralimpik Tokyo yang akan berlangsung dari 25 Ogos hingga 6 Sept.

Untuk rekod, Abdul Latif berjaya memperbaharui rekod dunia dengan jarak 7.64m dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) pada temasya Sukan Para Asia 2018 di Jakarta, Indonesia, memadam catatan lamanya 7.60m pada Sukan Paralimpik Rio, Brazil pada 2016.

“Latihan saya seperti biasa. Kira-kira 70 peratus setakat ini persediaan saya. Tapi saya tak boleh leka,” katanya.

Ketika ditanya mengenai persiapan ke Sukan Para ASEAN 2020 di Manila, Filipina, Abdul Latif menjelaskan hanya sekadar mahu menyertainya secara ‘santai’ dan tidak meletakkan sebarang sasaran pingat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 10:38 AM