Aizat Sharif

Padang Besar: Berikutan kejayaan atlet paralimpik lompat jauh negara, Abdul Latif Romly menggondol emas pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020, semalam, bapanya, Romly Mat, mengambil keputusan membotakkan rambutnya sebagai nazar diniatkan sekiranya anaknya itu memenangi emas.

Romly, 74, berkata, dia berbuat demikian sebagai sokongan tidak berbelah bahagi kepada anaknya yang berjaya mengharumkan nama negara buat kali kedua berturut-turut dalam temasya paralimpik.

"Saya berniat dalam dua ke tiga hari sebelum acara disertai Abdul Latif berlangsung dan saya mahu rambut dicukur sekiranya dia memenangi emas.

"Melihatkan persembahannya semalam, saya terharu dengan kesungguhannya mencapai kejayaan sehingga tercedera dalam usaha mendapatkan pingat emas negara dan saya harapkan dia dalam keadaan selamat," katanya ketika ditemui di kediaman anak kelimanya, Siti Aminah di Taman Emas, Bukit Keteri, Beseri, di sini, hari ini.

Terdahulu, rambut Romly dicukur tukang gunting rambut yang datang ke rumahnya pada 12 tengah hari.

ROMLY membotakkan rambutnya sambil diperhatikan isterinya, Salmah Yatim (kiri) di kediaman anaknya yang kelima, Siti Aminah di Taman Emas, Bukit Keteri, Beseri. FOTO Aizat Sharif
ROMLY membotakkan rambutnya sambil diperhatikan isterinya, Salmah Yatim (kiri) di kediaman anaknya yang kelima, Siti Aminah di Taman Emas, Bukit Keteri, Beseri. FOTO Aizat Sharif

Sementara itu, Siti Aminah, 34, berkata, dia ada menghubungi adiknya itu sekitar 10 malam untuk mengetahui keadaan kecederaan adiknya itu ketika melakukan lompatan kelima dalam acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran) di Stadium Nasional Tokyo.

"Kami ada berhubung dan saya bertanyakan keadaannya selepas kejadian itu dan dia menyatakan dalam keadaan baik cuma tidak boleh berjalan ketika awal kecederaan itu dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

"Dia menyatakan kakinya masih sakit dan saya suruh dia segera berehat memulihkan kecederaannya sekiranya pulang nanti ke Malaysia.

"Malah, sebelum pertandingan, saya menasihatkannya supaya jangan leka ketika nak masuk ke 'call room' kerana tidak mahu kejadian berlaku pada rakannya (Ziyad Zolkefli) terjadi pula kepadanya dan saya ada menyuruhnya tenangkan fikiran dan ingat Allah selalu," katanya.

Siti Aminah berkata, dia berharap adiknya itu mampu meneruskan perjuangan hingga ke temasya Sukan Paralimpik 2024 di Paris, Perancis.

Semalam, Abdul Latif mempertahankan pingat emas acara lompat jauh T20 yang dimenangi di Sukan Paralimpik Rio, Brazil pada lima tahun lalu dengan lompatan terbaiknya pada 7.45 meter.

Namun begitu, lompatan itu masih jauh untuk memecahkan rekod dunia miliknya sendiri iaitu 7.64 yang direkodkan di Jakarta pada 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 September 2021 @ 4:35 PM