Nabila dan Pekin bersama trofi kemenangan masing-masing. FOTO Zunnur Al Shafiq
Nabila dan Pekin bersama trofi kemenangan masing-masing. FOTO Zunnur Al Shafiq
Rudy Imran Shamsudin


Kuala Lumpur: Seperti dijangka filem seram arahan pengarah terkenal Syamsul Yusof, Munafik merangkul anugerah utama Filem Terbaik Nasional di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28).

Anugerah utama itu diwujudkan buat pertama kali selepas timbul kontroversi membabitkan pencalonan dalam kategori Filem Terbaik (filem bukan dalam bahasa Malaysia) dan Filem Terbaik FFM28.

Kemenangan filem terbitan Skop Production Sdn Bhd itu di FFM28 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, malam tadi sudah dijangka selepas ia turut memenangi anugerah penting lain seperti Penyunting Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Lebih manis apabila pelakon utama filem Munafik, Nabila Huda turut memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik.

Filem bukan dalam bahasa Kebangsaan, Jagat juga menepati ramalan apabila memenangi anugerah Filem Terbaik Malaysia FFM28.

Pengarah filem itu, Shanjhey Kumar Perumal turut memenangi anugerah Pengarah Baharu Terbaik.

Turut mencatat kejayaan besar di malam FFM28 adalah pelakon dan pengarah filem Mat Moto, Pekin Ibrahim apabila memenangi anugerah Cerita Asal Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik.

Sewaktu ditemui media, Pekin tidak dapat menyembunyikan perasaan hiba kerana teringatkan pesanan teman baiknya juga penerbit, Allahyarham Azwan Anwar yang memintanya untuk menghasilkan Mat Moto.

Heroin filem Mat Moto, Falisha Crossley turut memenangi anugerah Pelakon Baharu Wanita Terbaik.

Pelakon berpengalaman Fauziah Ahmad Daud buat pertama kali memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Langit Cinta selepas memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik sebanyak dua kali sebelum ini.

Sementara Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik dimenangi Hushairi Hussain menerusi filem Polis Evo.

Filem Cereka Animasi Terbaik dimenangi Boboiboy The Movie.

Sepanjang dua hari FFM28 berlangsung termasuk malam pembukaan berlangsung kelmarin di Studio Sound Stage, PerbadananKemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Hulu Klang sebanyak 21 anugerah diserahkan kepada mereka yang layak.

#kw FFM28

#loc 3.1390030000000002, 101.68685499999999

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2016 @ 12:15 AM