Yusliza Yakimir Abd Talib

Kehadiran pelbagai rekaan fesyen tudung dan selendang menambah kemeriahan industri busana Muslimah

di negara ini. Tidak ketinggalan pemilihan aksesori pelengkap gaya tudung seperti pin atau kerongsang juga menarik minat pengusaha menghasilkan produk itu mengikut kreativiti masing-masing.

Bagi pengusaha pin trendy Koleksi­emerald, Nazuha Mohd Ali, fesyen pin tudung juga bergerak seiringan dengan kemajuan fesyen Muslimah menyebabkan dia mengambil langkah menceburi bidang hiasan wanita itu.

Sejak awal 2014, dia mendapati pasaran pin trendy pada waktu itu masih terhad hingga tercetus idea memperkenalkan pin trendy pelbagai pilihan warna dan rekaan terutama daripada batu-batuan Korea selain merasakan pin tudung antara produk semakin diminati ramai terutama Muslimah sebagai pelengkap gaya.

Menurutnya, kesukaran untuk mendapatkan pin trendy yang berkualiti dengan harga berpatutan dan pilihan yang amat terhad turut memberinya idea untuk menghasilkan pin sendiri dan mempelbagaikan pilihan warna dan rekaan.

“Pin yang saya tawarkan terdiri daripada pelbagai pilihan warna, rekaan, bentuk dan saiz. Batu-batuan Korea yang berkilau, jernih dan berkualiti membuatkan pin ini lebih terserlah dan anggun apabila si pemakai menggayakannya.

“Pembuatan pin ini sebenarnya sudah menjadi hobi saya dan seakan-akan satu kepuasan apabila dapat menghasilkan pin trendy yang cantik dan disukai pelanggan,” katanya.

Pelbagai rekaan ditawarkan Koleksiemerald antaranya corak bunga, payung, daun, merak, kasut dan rama-rama selain pilihan pelbagai warna seperti biru nilam, merah delima, hijau zam­rud dan merah jambu.

Ibu kepada seorang cahaya mata ini berkata, batu-batuan Korea yang berkilau, jernih dan berkualiti membuatkan pin trendy rekaannya kelihatan menyerlah. Semua pin juga dilengkapi penutup pin untuk keselamatan dan pin haruslah tajam.

Nazuha mula mengeluarkan koleksi pin trendy sejak 2014 dan kini, penerimaan pelanggan amat menggalakkan kerana setiap hari dia akui tidak menang tangan menyiapkan semua tempahan.

Dibantu suami, Nazuha mempunyai pelanggan tetap dan peminat setia pin trendy dihasilkannya.

“Saya amat menjaga kualiti semua pin ini kerana ia mempengaruhi pembeli. Selain dalam negara, pin ini juga mendapat permintaan dari luar negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia, Arab Saudi dan United Kingdom.

“Saya lebih sukakan sesuatu rekaan bertatahkan batu-batuan yang berkilau kerana ia dapat memberi keindahan kepada tudung atau selendang terutama yang tidak bercorak,” katanya.

Koleksi pin Nazuha dijual pada harga berpatutan iaitu antara RM12 hingga RM18 dan semua koleksinya tidak lebih RM20.

Anak jati Kuala Lipis, Pahang ini turut merancang untuk mengeluarkan lebih banyak rekaan pin bagi kemudahan pembeli membuat pilihan. Di samping itu, dia kini dalam perancangan membuka kedai aksesori dan memiliki pembantu untuk menguruskan perniagaan.

Buat masa ini, koleksi pin trendy rekaannya boleh didapati secara dalam talian dan di butik terpilih. Mereka yang berminat untuk mendapatkan pin trendy boleh mengunjungi Facebook dan Instagram koleksiemerald.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:01 AM