CANTIK dan terkini.
CANTIK dan terkini.
Siti Nadirah Hafidzin

Mungkin ada yang beranggapan bergaya dengan tudung bawal kelihatan tidak menonjol dan tak mengikut perkembangan fesyen semasa namun pandangan itu ternyata meleset.

Tidak kiralah apa juga jenis tudung mahupun selendang yang dipilih, keyakinan individu dalam bergaya lebih penting.

Gabungan idea dua beradik, Siti Umi Mohd Norzuki dan Siti Nor Atikah dalam mengetengahkan koleksi tudung bawal dan selendang terkini menggunakan fabrik satin atas jenama Dleqa berjaya mencetuskan kelainan dan memberi suntikan segar dalam fesyen Muslimah.

Menurut Siti Umi, pihaknya sentiasa mengikuti perkembangan dunia fesyen semasa dan menghasilkan rekaan terbaik serta terkini untuk pelanggan.

“Koleksi bawal satin Cathrine dan selendang segera satin Medina antara koleksi terbaik kerana kedua-duanya menggunakan fabrik satin eksklusif yang selesa.

“Dengan harga bermula RM39 hingga RM99, kami yakin setiap koleksi kami dapat memberi satu pengalaman bermakna dan selesa kepada pelanggan yang memakainya,” katanya.

Siti Umi berkata, pihaknya memilih satin sebagai fabrik utama disebabkan ia mengeluarkan aura glamor dan segar.

“Jika dulu, pemakaian tudung bawal dianggap agak ketinggalan namun ia jauh berbeza kini kerana bawal boleh digayakan dengan pelbagai cara.

“Semua koleksi kami sesuai digayakan dalam gaya harian juga boleh menjadi pemanis mempelai pada hari pernikahan atau persandingan,” ujarnya.

Menurutnya, pihaknya juga sudah melakukan kajian terperinci sebelum mengeluarkan sesuatu koleksi bagi menjanjikan tudung yang digayakan mudah dibentuk, tidak menyakitkan telinga dan tidak terlalu berkilau.

“Ia penting untuk mengekalkan gaya mewah sekali gus menampakkan rekaan lebih ringan, selesa dan terletak apabila digayakan.

“Kami menyasarkan pelanggan dalam kalangan wanita berusia seawal 20-an dan ke atas sesuai dengan rekaan dan warna yang terkini,” katanya.

Selain tudung dan selendang, Dleqa juga mengeluarkan koleksi top yang selesa ketika dipakai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 January 2018 @ 9:44 AM