Rosliza Mohamed


Kota Bharu: Pemuda cedera terkena tembakan rambang yang dilepaskan dekat kedai makan di Bunut Payung di sini, hari ini.

Akibat kejadian 2.15 pagi tadi, mangsa berusia 20-an cedera di betis kanan dan menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Ab Rahman Ismail berkata, difahamkan dua das tembakan dilepaskan.

"Siasatan awal mendapati tiga suspek menaiki kereta jenis Mercedes melalui kawasan itu dan seorang daripada mereka keluar dari kenderaan dan melepaskan tembakan rambang.

"Kita menemui dua peluru dengan satu tersasar di dalam kedai dan terkena mangsa, manakala satu lagi pada badan sebuah kereta.

"Susulan itu, mangsa dibawa ke HRPZ II untuk rawatan," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan termasuk usaha memburu suspek.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1970 (Penalti Lebih Berat).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 8:40 PM