MANGSA dipercayai baru berusia 14 tahun.
MANGSA dipercayai baru berusia 14 tahun.
Agensi

New Jersey: Seorang remaja dilaporkan maut dan tiga lain cedera ditembak ketika perarakan motosikal sempena Hari Ibu, semalam.

Remaja lelaki dipercayai berusia 14 tahun itu A dilaporkan ditembak di kepala selepas tembakan rambang dilepaskan pada acara Bike Blessing sempena Hari Ibu di Newark, New Jersey.

Saksi yang menceritakan pengalaman mereka di media sosial berkata mereka sedang menyaksikan pelbagai persembahan oleh penunggang motosikal ketika tembakan dilepaskan.

Ada laporan mengatakan tembakan dilepaskan ke udara.

Polis kini menyiasat kejadian itu.

Mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Motif kejadian atau penembaknya tidak diketahui.

Saksi, Keona Campbell yang juga cuba menghulurkan bantuan kecemasan kepada mangsa yang mati berkata: “Saya mendengar lapan hingga 12 tembakan.

“Saya melihat dua lelaki menunggang motosikal empat roda melepaskan tembakan secara rambang ketika sedang membuat ‘wheelie’ di tengah jalan.”

Acara diadakan setiap Hari Ibu bertujuan menandakan permulaan musim menunggang motosikal yang ditaja kelab motosikal Newark Knights.

Sementara itu Datuk Bandar Newark Ras Baraka berkata: “Kejadian ini tidak boleh diterima. Kami akan memastikan pelakunya dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.”

Pendakwa Thomas S Fennelly mengesahkan mangsa meninggal dunia di hospital pada jam 7.45 malam (waktu tempatan).

Kelab motosikal berkenaan juga memuat naik gambar di Facebook menunjukkan orang ramai berseronok sebelum kejadian.

Ramai yang mengucapkan takziah berhubung kejadian di Twitter.

Pengguna Dwayne Wayne berkata: “Takziah kepada keluarga mangsa. Teruk betul jika orang ramai tidak boleh lagi berseronok seperti ini.”

Wanita bernama Eve berkata: “Beratnya dugaan untuk ibu mangsa apabila kehilangan anaknya pada Hari Ibu.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 7:31 AM