ANGGOTA polis melakukan siasatan di lokasi kejadian kes tembak yang menyebabkan seorang lelaki cedera di Taman Sentosa, Bukit Mertajamm, hari ini. FOTO Danial Saad
ANGGOTA polis melakukan siasatan di lokasi kejadian kes tembak yang menyebabkan seorang lelaki cedera di Taman Sentosa, Bukit Mertajamm, hari ini. FOTO Danial Saad
Shamsul Munir Safini


LELAKI berusia 23 tahun yang juga peniaga telefon bimbit sempat menyelamatkan diri dengan merangkak keluar melalui pintu kiri kereta selepas ditembak 11 das oleh seorang lelaki bertopeng ketika sedang memandu di Taman Sentosa, Bukit Mertajam, 11.15 pagi hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa Tan Yi Chin cedera di bahu kanan, lengan dan badan apabila terkena tiga daripada 11 das tembakan dilepaskan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan berkata, sebelum kejadian mangsa bersarapan bersama rakannya di kedai makan di Taman Sentosa.

“Mangsa kemudian memandu kereta Honda Accord dari Jalan Sentosa menghala ke Jalan Kulim.

“Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat Taman Sentosa, seorang suspek melepaskan 11 das tembakan ke arahnya,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, sejurus itu, mangsa terus keluar melalui pintu sebelah kiri dan pada masa sama kereta mangsa melanggar kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux.

Katanya, suspek yang menaiki kereta berwarna putih dan bertopeng kemudian melarikan diri dari tempat kejadian.

“Mangsa dibantu orang awam sebelum dibawa ke Hospital Bukit Mertajam dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.

Berita berkaitan

'Lelaki ditembak sembilan das'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 2:18 PM