KARYA Naddia
KARYA Naddia
KARYA Rube
KARYA Rube
HASIL seni Zaidah.
HASIL seni Zaidah.
HASIL kerja Marisa.
HASIL kerja Marisa.
PENGUNJUNG yang menghayati 46 karya dipamerkan.
PENGUNJUNG yang menghayati 46 karya dipamerkan.
BARISAN artis wanita yang menyertai Pameran Interpretasi Visual Wanita 2016 (dari kiri) Zaidah, Rube, Naddia dan Marisa.
BARISAN artis wanita yang menyertai Pameran Interpretasi Visual Wanita 2016 (dari kiri) Zaidah, Rube, Naddia dan Marisa.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Sebagai pembuka tirai, Galeri Prima mempersembahkan pameran bertajuk Interpretasi Visual Wanita 2016 yang mengetengahkan koleksi karya empat artis wanita manakala seorang artis lelaki, Suzlee Ibrahim sebagai artis undangan.

Pameran yang menampilkan hasil seni serta tafsiran pengkarya wanita terhadap seni visual menawarkan kepelbagaian kerana setiap mereka mempunyai visi serta pandangan tersendiri.

Artis wanita yang mengambil bahagian ialah Rube Jamal, Zaidah Abdullah, Marisa R Ng dan Naddia Zakaria.

Sebanyak 46 karya dipamerkan dan setiap artis mengemukakan inspirasi berbeza, malah medium digunakan turut mengikut pilihan sendiri.

Penulis berkesempatan menghayati hasil tangan Rube dan karya berwarna terang masih menjadi identitinya.

Mengekalkan gaya abstrak ekspresionis, Rube berkata, kecintaan terhadap warna membuatkan penggunaannya dalam penghasilan karya menjadi inspirasi utama.

“Saya suka warna. Sebenarnya kita dikelilingi dengan warna sama ada semula jadi atau yang dihasilkan manusia. Sebab itu saya beri tumpuan terperinci dalam penggunaan warna.

“Dari segi pemilihan tona, saya lebih gemar menggunakan warna terang kerana ia memberi gambaran ceria dan menggembirakan. Pada saya, warna terang juga ‘menghidupkan’ kanvas,” katanya.

Walaupun karya terbarunya kelihatan hampir sama seperti sebelum ini, komposisi dan campuran warna digunakannya jelas berbeza.

Koleksi lukisan dihasilkan Marisa turut menarik kerana bukan saja menggunakan arang sebagai medium utama, malah menjadikan figura lelaki sebagai fokus dalam setiap karyanya.

“Koleksi ‘The Naked Truth’ ini interpretasi saya terhadap lelaki dan saya memfokuskan figura lelaki kerana ia lebih kompleks dari segi penghasilan struktur.

“Jika dilihat semua gambar lelaki saya lukis dari belakang bagi melambangkan mereka yang kuat dan berpendirian teguh,” katanya.

Melihat kepada hasil seni Zaidah pula, setiap karya semi abstrak yang dipamerkan bukan saja diinspirasi daripada landskap dan alam semula jadi, malah diperoleh daripada pengalaman hidupnya.

Pernah bertugas sebagai guru, Zaidah berpendapat setiap karyanya bukan bertujuan menarik perhatian atau minat penonton tapi cara untuk meluahkan pendapatnya sendiri.

Kebanyakan karya yang dihasilkannya menggunakan campuran media itu mementingkan elemen garisan dan warna selain mengekspresi memori serta pandangannya di atas kanvas mahupun kertas.

Pameran terbuka kepada orang ramai sehingga 9 September dan masuk percuma.

INFO

PAMERAN INTERPRETASI VISUAL WANITA 2016

- Artis: Rube Jamal, Zaidah Abdullah, Marisa R Ng dan Naddia Zakaria (Artis undangan Suzlee Ibrahim)

- Jumlah karya: 46 karya

- Lokasi: Galeri Prima, Anjung Riong, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Balai Berita, Kuala Lumpur

- Tarikh: Sehingga 9 September 2016

- Masa: 9 pagi hingga 6 petang

- Telefon: 03-2724 8300

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 12:31 PM