PENGUNJUNG melihat pameran lukisan artis, Ahmad Ghazie Ibrahim dan Rube Jamal di Lobi Balai Berita NSTP Bangsar.
PENGUNJUNG melihat pameran lukisan artis, Ahmad Ghazie Ibrahim dan Rube Jamal di Lobi Balai Berita NSTP Bangsar.

Kuala Lumpur: Dua pelukis Ahmed Ghazie Ibrahim dan Rube Jamal menggunakan prinsip rekaan dan seni sebagai panduan utama untuk menonjolkan tema ‘Diversity’ yang bermaksud kepelbagaian karya.

Ahmed Ghazie berkata, lukisan adalah sesuatu yang bebas, tetapi perlu ada nilai keunikan yang boleh menggambarkan identiti sebenar pelukis.

“Melukis ini sama seperti muzik yang ada alunan pelbagai rentak kerana terdapat elemen yang perlu dititikberatkan termasuk pergerakan, warna, ruang dan garisan.

“Di pameran ini, selain daripada melukis dan mengecat, ada juga kaedah ‘mono print’ yang membabitkan lukisan di atas ‘plate’ dan kemudian ditekap ke atas kertas lukisan bersaiz dan ruang tepi sudah ditetapkan,” katanya ketika ditemui di Lobi Balai Berita The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Jalan Riong di sini, semalam.

Menurutnya, semua lukisan yang dipamerkan menggunakan tiga teknik berbeza iaitu akrilik pada kanvas, cetakan pada kertas dan pastel pada kertas.

“Semua lukisan dipamerkan ini dilukis terus ke atas kanvas kerana lukisan abstrak ini membabitkan penggunaan pelbagai warna untuk menyerlahkan lagi suatu lukisan dan boleh diubah mengikut kesesuaian dengan hanya menampal dengan warna lain di atasnya,” katanya.

Sementara itu, Rube berkata, masa yang diambil untuk menyiapkan sesebuah lukisan adalah seminggu dan ia bergantung kepada keadaan cuaca.

“Ini kerana setiap warna di atas kanvas perlu dikeringkan terlebih dahulu sebelum ditindih dengan warna lain supaya warnanya tidak bercampur.

“Dari segi harga pula, ia ditentukan berdasarkan saiz, bahan lukisan serta pengalaman seseorang pelukis,” katanya.

Pameran Lukisan NSTP itu berlangsung dari 5 hingga 31 Oktober 2015 mempamerkan pelbagai lukisan Diversity yang bercorak abstrak dan landskap termasuk Tragedy, Advance, Destiny, Drip Drop, In Harmony dan Birth of Fire.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 6:22 AM