KARYA SENI Suzlee yang diinspirasi daripada sajak Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan berjudul ‘Kembara Itu’.
KARYA SENI Suzlee yang diinspirasi daripada sajak Sasterawan Negara Datuk Dr Anwar Ridhwan berjudul ‘Kembara Itu’.
LUKISAN bertajuk ‘Sakura’ memberi ilham kepada arwah Rahimidin menghasilkan sajak dengan tajuk sama.
LUKISAN bertajuk ‘Sakura’ memberi ilham kepada arwah Rahimidin menghasilkan sajak dengan tajuk sama.
SAJAK ‘Beni Subur’ karya Nik Mustapha memberi inspirasi kepada Suzlee meluahkan baitnya melalui warna dan kanvas.
SAJAK ‘Beni Subur’ karya Nik Mustapha memberi inspirasi kepada Suzlee meluahkan baitnya melalui warna dan kanvas.
MENUNGGU CINTA MATAHARI’ antara sajak menjadi ilham kepada Suzlee pameran solonya.
MENUNGGU CINTA MATAHARI’ antara sajak menjadi ilham kepada Suzlee pameran solonya.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Terkenal dengan penghasilan karya abstrak ekspresionis, artis terkemuka Suzlee Ibrahim sekali lagi mengadakan pameran solo diberi nama ‘Poem’ di The Art People Gallery (TAPG), Bandar Bukit Raja, Klang.

Suzlee yang juga Dekan Fakulti Rekaan Komunikasi Visual Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menghasilkan koleksi lukisan diinspirasi daripada beberapa sajak ditulis beberapa penyajak yang juga rakan dan penggemar seninya.

Pameran solo ke-30 Suzlee ini menggambarkan perjalanan seninya selama 29 tahun yang pernah mengadakan pameran di lebih 20 negara.

Sebanyak 30 lukisan dipamerkan dalam ruang galeri berkenaan yang menggunakan medium akrilik dan cat minyak di atas kanvas.

Suzlee memilih sajak ditulis rakan terdekat seperti Datuk Dr Anwar Ridhwan, Sani Sudin, Nik Mustapha Nik Mohd Salleh serta beberapa penulis lain.

Menurutnya, persahabatan dengan beberapa penulis dan penyajak terkemuka menaikkan semangatnya untuk meneroka penulisan dan sajak di atas kanvas.

“Saya berpendapat penyajak dan pelukis menghasilkan karya seni untuk tontonan dan penghayatan penonton melalui luahan serta pengalaman peribadi.

“Apa yang membezakan kedua-duanya ialah sajak dipersembahkan melalui penggunaan baris kata, manakala lukisan menggunakan warna di atas kanvas,’ katanya.

Beliau berkata, karya yang dihasilkannya bukan saja diilhamkan daripada sajak, malah ada antara siri lukisannya memberi inspirasi kepada penulis sajak pula.

“Pada 2008, saya hasilkan koleksi lukisan berjudul ‘Siri Sakura’ sempena lawatan dan pengalaman pertama saya ke Festival Sakura di Ueno, Tokyo.

“Daripada lukisan itu terhasillah sajak bertajuk ‘Sakura’ dengan nama saya turut dimasukkan dalam karya yang ditulis rakan saya arwah Rahimidin Zahari,” katanya.

Katanya, sejak itu dia berminat untuk menterjemah sajak menjadi lebih luas kerana cabang seni itu mampu menggambarkan sesebuah lakaran seni.

Pameran berlangsung sehingga 30 September dan masuk percuma.

INFO

POEM

- Artis: Suzlee Ibrahim

- Jumlah karya: 30

- Lokasi: The Art People Gallery, No 30, Tingkat 1 & 2, Jalan Makyong 5C/KU5, Bandar Bukit Raja, Klang

- Tarikh: Sehingga 30 September

- Masa: 11 pagi hingga 6 petang

- Telefon: 017-234 5427 (Arel - pengurus galeri)

- FB: www.fb.com/theartpeoplegallery

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 September 2016 @ 12:34 PM