PENUNJUK perasaan membakar kain rentang dengan wajah Duterte ketika bantahan di luar istana presiden di Manila. - Reuters
PENUNJUK perasaan membakar kain rentang dengan wajah Duterte ketika bantahan di luar istana presiden di Manila. - Reuters
AFP

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte menegaskan dia sendiri mengarahkan polis menembak mati anak lelakinya sekiranya terbukti dia terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah.

Paolo, 42, pada bulan ini hadir ke siasatan Senat dan menafikan tuduhan wakil rakyat pembangkang bahawa dia membantu menyeludup methamphetamine dari China.

Duterte tidak merujuk secara langsung pada tuduhan itu tetapi berkata, semua anaknya tidak terbabit dengan dadah tetapi sekiranya benar, mereka akan menerima hukuman berat.

“Arahan saya sebelum ini adalah jelas, sekiranya ada anak saya terbabit dengan dadah, bunuh mereka supaya rakyat tidak boleh berkata apa.

“Saya berkata kepada Paolo, arahan saya adalah bunuh kamu jika kamu ditangkap dan saya akan melindungi polis yang membunuh kamu,” katanya di sini kelmarin.

Duterte, 72, menang besar dalam pilihan raya presiden pada tahun lalu selepas berjanji untuk membunuh ribuan pengedar dadah dan penjenayah.

Sejak Duterte berkuasa pada pertengahan tahun lalu, polis dilaporkan menembak mati lebih 3,800 suspek dalam operasi antidadah.

Ribuan lagi mati yang didakwa pembangkang dan aktivis hak asasi manusia dibunuh skuad pembunuh polis.

Sementara itu, ribuan penentang Duterte mengadakan tunjuk perasaan semalam bagi membantah kempen antidadah dan ancaman mengisytiharkan perintah darurat oleh pemimpin itu.

Bagaimanapun, ribuan penyokong Duterte juga membanjiri jalan yang menunjukkan pemimpin itu masih mempunyai sokongan kuat rakyat.

Polis antirusuhan juga ditempatkan di seluruh Manila bagi mengawal keadaan dan mengelak kedua-dua kumpulan bertembung. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 September 2017 @ 9:47 AM