ANTARA karya percetakan yang dihasilkan Azad menggunakan teknik percetakan konvensional.
ANTARA karya percetakan yang dihasilkan Azad menggunakan teknik percetakan konvensional.
ANTARA karya Azad.
ANTARA karya Azad.
PAMERAN mengetengahkan watak dalam permainan video arked ‘Space Invader’ sebagai fokus utama.
PAMERAN mengetengahkan watak dalam permainan video arked ‘Space Invader’ sebagai fokus utama.
AZAD menyusun cawan plastik yang sudah siap melalui proses mengecat dengan teliti di atas keluli tahan karat yang digantung pada papan.
AZAD menyusun cawan plastik yang sudah siap melalui proses mengecat dengan teliti di atas keluli tahan karat yang digantung pada papan.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Menjejakkan kaki ke pameran ‘Space Invader’ di Galeri Artcube, pada awalnya penulis menyangka beberapa karya yang tergantung adalah percetakan digital.

Namun, sangkaan penulis meleset apabila mendekati serta menghayati hasil seni berkenaan yang ternyata dihasilkan menggunakan teknik percetakan konvensional daripada campuran media cat automotif di atas perspek.

Karya kontemporari hasil kerja tangan Azad Daniel Haris itu pasti membuat pengunjung tertawan kerana bukan saja memberi kelainan, malah memiliki keunikan tersendiri.

Pameran yang berlangsung sehingga 31 Ogos ini menampilkan 19 karya terbaru Azad yang mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan.

Penonton daripada pelbagai lapisan umur pasti tidak jemu dengan karya yang diketengahkan kerana selain menggunakan warna terang, Azad turut menjadikan watak utama permainan video arked ‘Space Invader’ sebagai fokus utama.

Penulis turut tertarik dengan karya pemasangan dihasilkan daripada cawan plastik yang digantung pada keluli tahan karat yang diletakkan pada papan.

Lebih rumit berbanding karya percetakan, Azad berkata, ia memerlukan masa yang panjang untuk disiapkan kerana keseluruhan setiap cawan perlu dicat dan diukur dengan teliti.

“Ini pertama kali saya menggunakan cawan plastik untuk menghasilkan karya pemasangan. Ia mengambil banyak masa terutama di peringkat kajian dan penyelidikan bagi memastikan koordinasi warna dan susunannya tepat.

“Berbeza dengan karya percetakan, karya pemasangan ini menggunakan cawan yang melengkung. Saya perlu memberi tumpuan lebih kepada setiap sudut ketika proses mewarna dan menyusun,” katanya.

Sebanyak 1,133 cawan digunakan untuk menghasilkan semua karya pemasangan dalam pameran itu dan setiap cawan perlu melalui tujuh proses berbeza bagi memastikan karya akhir lebih halus.

“Apabila membabitkan penggunaan cat automotif, proses pengeringan juga mengambil masa dan beberapa lapisan cat, asas cat serta kemasan perlu diberi perhatian,” katanya.

Ini pameran solo pertama Azad sepanjang 10 tahun bergelar artis dan idea serta mesej yang diketengahkan adalah konsumerime yang sedang berlaku dalam kehidupan seharian.

“Maksud serta ideologi di sebalik karya yang saya kemukakan adalah penjajahan kepenggunaan atau konsumerisme yang berlaku di sekeliling kita dan bagaimana kita menyesuaikan diri serta memberi tindak balas terhadap perkara itu,” katanya.

INFO

SPACE INVADER

- Artis: Azad Daniel Haris

- Jumlah karya: 19

- Lokasi: Galeri Artcube, 3-10 & 3-13, Tingkat 3 Intermark Mall, The Intermark, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur

- Tarikh: Sehingga 31 Ogos

- Masa: 11 pagi hingga 8 malam (Sabtu dan Ahad 12 tengah hari hingga 6 petang)

- Web: www.artcube.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2016 @ 1:10 PM