BARISAN artis yang hadir pada perasmian Pameran Almagamation yang sedang berlangsung di Galeri Prima. Dari kiri Abdul Ghani, Saiful Amir, Norida, Dr Mohammad Khizal, Mohd Hafiz dan Shahrul Anuar.
BARISAN artis yang hadir pada perasmian Pameran Almagamation yang sedang berlangsung di Galeri Prima. Dari kiri Abdul Ghani, Saiful Amir, Norida, Dr Mohammad Khizal, Mohd Hafiz dan Shahrul Anuar.
ANTARA pengunjung yang hadir dan menghayati pelbagai cabang seni visual dan genre diketengahkan pada pameran berkenaan.
ANTARA pengunjung yang hadir dan menghayati pelbagai cabang seni visual dan genre diketengahkan pada pameran berkenaan.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Galeri Prima sekali lagi mengadakan pameran, kali ini diberi nama ‘Amalgamation’ dengan tema kepelbagaian ekspresi.

Sebanyak 76 karya dipamerkan hasil seni lapan artis daripada pelbagai cabang seni visual yang menampilkan genre berbeza.

Pengunjung pasti tidak jemu kerana setiap artis membawa identiti dan keunikan tersendiri dalam karya masing-masing dan lebih menarik ia tidak hanya tertumpu pada seni lukis.

Pameran yang mengetengahkan kepelbagaian ekspresi itu turut membawa variasi dari segi medium diguna dalam penghasilan karya.

Penulis tertarik dengan karya Norida Mohd Ali yang mengetengahkan lukisan potret tokoh terkemuka negara, antaranya Datuk Siti Nurhaliza.

Lebih menarik, setiap potret dihasilkan menggunakan alat kosmetik seperti gincu, pembayang mata, pemerah pipi, bedak muka dan pewarna kuku.

Penggemar tekstil pula pasti tidak mahu ketinggalan menyaksikan koleksi pereka fesyen dan tekstil Mohd Hafiz Drahman yang mempamerkan corak dan pakaian rekaannya.

Beliau Hafiz mengetengahkan corak dan bentuk berulang di atas tekstil dengan gabungan warna harmoni dan serasi menjadikan pakaian dan tekstil diketengahkan begitu indah ditatap.

Artis Saiful Amir Jaya Putera pula menghasilkan dua jenis arca iaitu arca dinding dan arca berdiri yang menekankan elemen garisan dan ruang dalam kerja tangannya.

Bagi yang menantikan kemunculan karya seni percetakan, Dr Mohammad Khizal Mohamed Saat membawa hasil seni memfokuskan kepada pergerakan dan tekstur cetak menggunakan campuran media.

Artis lain yang turut terbabit ialah Abdul Ghani Ahmad, Shahrul Anuar Shaari, Mohd Fahmi Mohd Taib dan Nazmi Ismail masing-masing menampilkan lukisan dari pelbagai medium seperti warna air, cat minyak, akrilik, arang di atas kertas dan kanvas.

Pameran yang berlangsung sehingga 7 Oktober ini itu dibuka kepada orang ramai dan masuk percuma.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2016 @ 5:06 AM