RUANG galeri yang mempamerkan karya.
RUANG galeri yang mempamerkan karya.
Siti Salmiah A Hamid


Nama Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan - KWAP) sudah tidak asing lagi dalam kalangan artis seni tempatan kerana badan berkenaan menyokong perjalanan artis menerusi pembelian pelbagai karya seni.

Antara karya yang kini berada dalam koleksi KWAP dilukis Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir, Haron Mokhtar, Cheong Tai Long, Fong Kim Seng, Ismail Latiff, Siund Tan, Rohaizad Shaari dan ramai lagi.

Justeru, pameran ‘Canvas: Empowering Communities Through the Arts’ bukan saja untuk memperlihatkan beberapa koleksi seni KWAP yang dikumpul sejak 2003 tetapi juga antara tanggungjawab sosial korporat KWAP untuk menyokong dan membantu golongan yang memerlukan.

Kerjasama dengan Galeri Artcube membolehkan bakat artis muda diketengahkan dengan membawa karya moden dan kontemporari untuk tatapan umum.

Sebanyak 12 koleksi pengkarya muda termasuk artis senior Mohd Nor Mahmud selain 15 karya hasil sentuhan kakitangan KWAP dibuka untuk jualan. Hasil jualan sepenuhnya disumbangkan kepada Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).

Barisan artis berkenaan iaitu Fitriah Roslan, MN Hafiz Hamzah, Megat Zaim Zharif, Syukur Rani, Fatah Taib, Kamal Sazali, Putra Nazri, Nazrul Hamzah, Alif Afandi Azman, Amir Amin dan Mohd Nor Mahmud.

Pengarah Galeri Artcube, Azhar Ahmad berkata, jualan karya seni antara inisiatif untuk membantu golongan yang memerlukan.

“KWAP bukan saja bertanggungjawab membantu golongan sasaran, malah memberi galakan kepada kakitangan badan berkenaan untuk turut sama melahirkan ekspresi seni ke atas kanvas.

“Setakat ini, sebanyak RM15,000 berjaya dikumpulkan daripada jualan karya artis yang terbabit,” katanya.

Orang ramai dialu-alukan untuk menyertai beberapa siri program termasuklah bicara seni dan bengkel seni yang diadakan untuk kakitangan KWAP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mei 2017 @ 1:07 PM