FADLI
FADLI
Siti Salmiah A Hamid


Nama Fadli Yusoff sudah tidak asing lagi dalam arena seni lukis tanah air. Pemerhatian beliau ke atas keadaan sekeliling dijadikan garapan dan cetusan inspirasi seni.

Justeru, menerusi pameran Tanah Tumpahnya Darah, beliau melahirkan pelbagai karya yang menyentuh sisi masyarakat negara ini dari segi politik, sosial dan agama.

Bagi mewujudkan perubahan dan peredaran zaman masa kini, beliau mempelbagaikan subjek potret termasuk mengabadikan kenalan, sahabat dan ikon terkenal dalam karya seninya.

Fadli mencipta imej yang saling berkait hingga membolehkan wujud komunikasi antara kerja seninya dengan penonton.

Lebih menarik, karya seni Fadli dilukis menggunakan akrilik di atas linen dan jut, sesuatu yang jarang dihasilkan artis baru.

Antara karya yang mencuri tumpuan adalah Ampunkanlah Aku yang memaparkan lelaki dengan keadaan duduk di atas tikar sembahyang sambil menadah tangan memohon keampunan daripada Sang Pencipta.

Kelihatan perkataan ‘Ampunkanlah aku wahai Allah, Ampunkanlah aku wahai Allah yang Maha Agung’ ditulis tebal, selapis dan sejajar setiap satunya.

Kewujudan angka dan teks berwarna yang berlatar suasana gelap sebagai penanda kepada gaya klasik Fadli.

Pengunjung berpeluang menikmati 15 karya beliau dengan melawat Galeri Artcube di Intermark Mall, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2016 @ 3:16 PM