IJM Land Centre of Excellence
IJM Land Centre of Excellence
BENTUK kiub dalam rekaan seni bina Galeri ICE bagi memastikan ketahanan struktur selain memaksimumkan penggunaan ruang bagi mengharmonikannya dengan alam sekitar.
BENTUK kiub dalam rekaan seni bina Galeri ICE bagi memastikan ketahanan struktur selain memaksimumkan penggunaan ruang bagi mengharmonikannya dengan alam sekitar.
GALERI turut memiliki dewan utama dan ruang legar.
GALERI turut memiliki dewan utama dan ruang legar.
SENI bina Galeri ICE menggunakan keluli dan kaca serta material bangunan paling mampan.
SENI bina Galeri ICE menggunakan keluli dan kaca serta material bangunan paling mampan.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Kewujudan bangunan berbentuk kiub yang kelihatan artistik serta bercirikan moden dan kontemporari di Malaysia akhirnya menjadi kenyataan apabila ia dirasmikan, baru-baru ini.

Bangunan diberi nama ‘IJM Land Centre of Excellence’ atau Galeri ICE di Pantai Sentral Park, Kuala Lumpur itu dimajukan IJM Land Berhad dengan kerjasama Amona Development Sdn Bhd.

Ia terletak di pusat komersial segi tiga emas dan hab jualan IJM Land Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Bangsar dan Mid Valley.

Galeri berbentuk unik itu menggunakan konsep dua kiub geometri berstruktur kaca lut sinar pada bahagian dalaman, secara tidak langsung menampilkan perbezaan ketara dengan galeri hartanah konvensional lain.

Bentuk kiub dipilih dalam rekaan seni bina itu bertujuan memastikan ketahanan struktur selain memaksimumkan penggunaan ruang bagi mengharmonikan keseluruhan bangunan dengan alam sekitar.

Direka mengikut penyesuaian bentuk isipadu dan struktur ruang bebas dalam galeri bagi tempoh jangka panjang untuk mewujudkan ruang fleksibel bagi memudahkan perubahan penggunaan ketika kitaran hayat bangunan.

Ia membolehkan susun atur ruang dalaman diubah sejajar dengan fungsi baru, selain memenuhi tuntutan rekaan bangunan pada masa depan.

Galeri berkeluasan 609.6 meter persegi ini membolehkan cahaya mencukupi masuk ke dalam ruang, sekali gus memaksimumkan pemandangan di dalam dan luar bangunan.

Dibina sepenuhnya dengan kaca dan keluli, ia turut menampilkan pemandangan hutan di sekitar bangunan dan mencipta perubahan sepanjang hari mengikut sinar mentari.

Pada waktu malam ketika galeri itu diterangi lampu, ukiran arca yang menjadi tumpuan di dewan utama dengan rekaan kombinasi kaca lut sinar mencipta ilusi magis seolah-olah membentuk hutan fantasi.

Bangunan itu menggunakan keluli dan kaca serta beberapa bahan paling mampan di dunia yang mudah dibaiki serta boleh diguna dan dikitar semula.

Walaupun bahan utama bangunan daripada kaca, tidak timbul isu seperti persekitaran menjadi panas melampau atau menyilaukan pandangan. Ini kerana rekaan seramik yang digunakan membolehkannya menyerap haba dan membantu mengurangkan silau.

Pengurus Besar Kanan IJM Land Wilayah Tengah, Hoo Kim See berkata, menjadi impian sekian lama syarikat pemaju hartanah itu untuk mewujudkan Galeri ICE.

Ia bagi mencerminkan semangat inovasi di Pantai Sentral Park melalui seni bina dan rekaan yang menggambarkan perasaan masyarakat khususnya apabila mereka menjejakkan kaki dalam galeri.

“Ia tafsiran kami mengenai alam semula jadi. Rekaan ergonomik (kejuruteraan insan) ini kelihatan seolah-olah berkembang secara dinamik tanpa membabitkan manusia,” katanya.

Antara ciri ketara konsep itu ialah arca besar di dalam dewan utama setinggi 12 meter yang pasti menarik perhatian pengunjung.

Pengarah Urusan IJM Land, Edward Chong Sin Kiat turut menjelaskan lebih lanjut inspirasi di sebalik Galeri ICE.

“Daripada sebuah galeri biasa, kami berpendapat penting untuk mewujudkan struktur unik yang mencerminkan bentuk keperibadian kepada Pantai Sentral Park.

“Kewujudan galeri di sini penting untuk mendefinisikan jenama IJM Land dengan masyarakat dan pelanggan di Lembah Klang,” katanya.

Majlis pembukaan Galeri ICE yang dihadiri 200 tetamu termasuk golongan berpengaruh dalam komuniti hartanah di ibu kota, sekutu perniagaan dan rakan kongsi, perunding hartanah serta media.

Direka firma seni bina terkemuka Surbana Consultants Sdn Bhd dengan kerjasama firma reka bentuk dalaman DWP (Design Worldwide Partnership), Galeri ICE menawarkan pengalaman multi-deria yang unik termasuk model seni bina dan rumah contoh interaktif yang menyajikan pengalaman baru kepada pengunjung.

Ia memiliki dewan utama dan ruang legar untuk penganjuran sebarang acara, majlis pertemuan dan perayaan, kafe dan bar.

Perbandaran bervisi Pantai Sentral Park seluas 58 ekar dengan nilai pembangunan kasar RM2.5 bilion.

Pembangunan tujuh fasa kediaman dan enam fasa komersial itu dijangka siap dalam tempoh 10 hingga 15 tahun dan dijangka mampu menampung 15,000 penduduk.

Lokasi unik Pantai Sentral Park di Bukit Kerinchi, selain dekat dengan pusat bandar raya menjadikannya perbandaran urban dalam rimba.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Julai 2016 @ 5:01 AM