MAJLIS pelancaran Anugerah Pereka Muda Nippon Paint 2015.
MAJLIS pelancaran Anugerah Pereka Muda Nippon Paint 2015.
ANTARA juri yang bakal memilih pemenang menerangkan kriteria dicari.
ANTARA juri yang bakal memilih pemenang menerangkan kriteria dicari.
REKAAN mampan semakin dekat di hati belia.
REKAAN mampan semakin dekat di hati belia.
PESERTA tahun 2014 menjalani lawatan sambil belajar di luar negara.
PESERTA tahun 2014 menjalani lawatan sambil belajar di luar negara.

Basyar Mustapha berasakan belia semakin banyak peluang menonjolkan bakat masing-masing dan Anugerah Pereka Muda Nippon Paint 2015 (NPYDA) adalah satu daripadanya.

Jenama cat Nippon Paint Malaysia Group atau ‘Nippon Paint’ bersama syarikat pemaju hartanah IJM Land Berhad baru-baru ini melancarkan Anugerah Pereka Muda Nippon Paint 2015 (NPYDA) dengan tema kali ini

‘Rekaan Dari Nurani: Untuk Masa Hadapan Mampan Untuk Kepentingan Sejagat (Design With Heart: For a Sustainable Future: With People in Mind)

Diadakan untuk tahun kelapan berturut-turut untuk belia, NPYDA bermatlamat memupuk bakat muda dan mencetuskan kreativiti dan inspirasi dalam kalangan pelajar jurusan arkitek dan reka bentuk dalaman.

Anugerah yang menawarkan dua kategori pertandingan iaitu seni bina dan reka bentuk dalaman ini meraih pengiktirafan antarabangsa kerana menyediakan pentas bagi pereka muda untuk berkongsi idea dengan pakar industri.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2008 di Malaysia sahaja, anugerah ini kini muncul sebagai antara pertandingan reka bentuk paling terkemuka meliputi 12 negara iaitu Singapura, Filipina, Bangladesh, Thailand, Pakistan, Indonesia, Papua New Guinea, Vietnam, China, Jepun, Hong Kong dan Malaysia.

Pengurus Besar Kumpulan Nippon Paint Malaysia Group, Gladys Goh pada majlis pelancaran berkata NPYDA diperkukuhkan dari segi prestij apabila semakin ramai peserta dari industri, persatuan dan pemaju hartanah berganding bahu meningkatkan taraf pertandingan dari segi kriteria pemilihan selain berkongsi pengetahuan.

“Kami juga sangat bangga memiliki satu daripada pemaju hartanah terkemuka Malaysia, IJM Land, menjadi rakan kongsi kami bagi tahun kedua untuk mempromosi dan memupuk pereka dan arkitek muda bagi masa depan.

“Setiap tahun, NPYDA membariskan hakim yang terdiri daripada profesional terkenal dan peneraju industri, untuk memperketatkan proses pemilihan sebelum pemenang anugerah bagi pereka bentuk dan arkitek paling kreatif dan inovatif diumumkan,” katanya

Tema NPYDA 2015 dipilih untuk menggalakkan pereka dalaman dan arkitek muda menghasilkan idea dan konsep yang mencetuskan kemudahan, praktikal dan kegunaan ke dalam ruang kehidupan, pekerjaan dan riadah.

Ia dijadikan misi untuk mencabar pereka supaya menonjolkan konsep reka bentuk yang memberi manfaat kepada segenap lapisan masyarakat, termasuk golongan tua, muda dan yang kurang upaya.

Menurut Goh lagi Nippon Paint, percaya dalam usaha menonjolkan minat dalam apa jua yang dilakukan.

“Kami menggalakkan pelajar untuk mencabar diri mereka sendiri untuk melangkaui batas kebiasaan.

“Inilah platform apabila pereka dalaman dan arkitek muda mampu melepasi had dan sekatan pemikiran konservatif dan menyampaikan idea dan alam sekitar yang boleh dinikmati serta dihargai oleh semua.

“NPYDA juga mencari idea reka bentuk yang hijau dan mapan bagi memastikan kita terus melindungi alam sekitar kehidupan kita untuk generasi akan datang.” katanya.

Pengarah Urusan IJM Land Berhad Edward Chong Sin Kiat berkata pembentukan pembangunan mampan sememangnya menjadi satu kaedah masa depan yang penting.

“Ini kerana pengguna kini terutama generasi muda cenderung ke arah pembangunan yang mesra dengan persekitaran semula jadi dan IJM Land inginmenggalakkan kaedah yang baik ini dan memberi peluang kepada anak muda sendiri untuk merevolusikannya,” katanya.

Ketua Hakim bagi Kategori Reka Bentuk Dalaman, Fendarie Su Pek Fuang berkata konsep reka bentuk harus menggambarkan idea yang menambah baik fungsi, meningkatkan pengalaman dan mentransformasikan kehidupan.

“Pereka dalaman digalakkan berkongsi wawasan ruang kerja ideal bagi mempromosikan keseimbangan antara kerja dan kehidupan. Pertandingan tahun ini mencari penyertaan yang mampu mencipta konsep dan ruang yang ergonomik dan mesra alam sekitar.

“Kami juga percaya bahawa perubahan sosial juga penting seperti pembangunan teknologi dalam membentuk kerja masa depan mereka.

“Jadi fikirkan bagaimana masyarakat boleh lebih maju dan memberi reaksi kepada alam sekitar dan sekeliling mereka apabila bekerja,” kata Fendarie.

Bagi kategori rekaan seni bina pula ketua hakimnya, Ar. Jasmeet Singh Sidhu berkata arkitek muda diberi tugasan mewujudkan Ruang Interaktif Komuniti yang ideal dengan persekitaran menyeluruh yang mesra terhadap hubungan kekeluargaan dan masyarakat, menganjurkan nilai baik dan memberi inspirasi kepada pengguna untuk berfikir secara kreatif.

“Reka bentuk bagi Ruang Interaktif Komuniti harus fokus terhadap memperkenalkan kawasan yang bersesuaian bagi aktiviti dalam dan luar bangunan seperti interaksi rekreasi di dalam sesebuah bandar misalnya,” katanya

Selain mempamerkan idea dan bakat reka bentuk mereka, NPYDA juga membenarkan pemenang untuk terus mengasah kemahiran komunikasi dan penyampaian serta meningkatkan pengetahuan mereka ke seluruh rantau menerusi petua pembelajaran pasca pertandingan.

Tarikan utama pada NPYDA 2015 ialah Program Pembelajaran di Bangkok yang menjadi lokasi pusingan terakhir apabila pemenang dari semua 12 negara berhimpun dan bersaing merebut anugerah serantau.

Antara hadiah menarik yang ditawarkan dalam NPYDA 2015 adalah wang tunai, latihan industri di IJM Land dan lawatan sambil belajar ke luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2015 @ 10:04 AM