SURIA Pantai terletak  berdekatan dengan pelbagai kemudahan.
SURIA Pantai terletak berdekatan dengan pelbagai kemudahan.
Hazwan Faisal Mohamad

KUALA LUMPUR: IJM Land dan Amona Development melancarkan projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) di Pantai Dalam, Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Suria Pantai dan dijual pada harga RM275,000 seunit.

Kondominium 34 tingkat itu menawarkan 896 unit kediaman berkeluasan 810 kaki persegi dengan setiap tingkat mempunyai 26 unit rumah.

Setiap unit akan mengandungi tiga bilik tidur dan dua bilik mandi, sekali gus memenuhi keperluan setiap pembeli sama ada untuk golongan bujang profesional, pasangan berkahwin mahupun mereka yang sudah berkeluarga.

Setiap unit juga didatangkan dengan satu tempat letak kereta bertutup. Dari segi kemudahan, kediaman ini akan dilengkapi kolam renang, taman permainan dan dewan serbaguna untuk pelbagai aktiviti.

Di samping itu, keselamatan penghuni akan terjamin menerusi perkhidmatan pengawal keselamatan di kediaman mereka.

Pengurus Besar Kanan (Wilayah Tengah) IJM Land, Datuk Hoo Kim See, berkata pihaknya menyokong usaha kerajaan untuk membangunkan kediaman dengan harga lebih berpatutan untuk rakyat Malaysia terutamanya generasi muda.

Katanya, Suria Pantai yang terletak di Segi Tiga Emas Kuala Lumpur baharu, berdekatan dengan pelbagai kemudahan dan laluan perhubungan iaitu sekitar tiga kilometer (km) ke pusat beli-belah Mid Valley dan lima km ke KL Sentral.

“Melihat kepada lokasinya, nilai hartanah pembangunan di sekitar kawasan berkenaan boleh mencecah jutaan ringgit. Pembangunan kediaman ini benar-benar berbaloi untuk dimiliki dan tidak seharusnya dilepaskan,” katanya.

Projek pembangunan itu bakal menerima manfaat yang besar dari Persimpangan Pantai Sentral Park yang akan siap dibina pada suku keempat tahun ini, di mana ia akan menghubungkan pemilik rumah ke kawasan tumpuan utama seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Bangsar, Cheras, Subang dan Sunway.

Antara kawasan tumpuan lain adalah Taman Rimba Bukit Kerinchi, iaitu sebuah rizab hutan seluas 80 hektar yang terletak di pinggir kawasan perumahan yang pastinya memberi keseronokan tersendiri kepada pencinta alam untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti mendaki bukit, joging dan berbasikal di samping merasai sendiri kedamaian dan ketenangan dengan menikmati kehijauan khazanah hutan yang masih tersimpan.

Individu dengan pendapatan bulanan kurang daripada RM10,000 atau gabungan pendapatan isi rumah tidak lebih daripada RM15,000 layak untuk memiliki kediaman ini dengan syarat mereka kini bekerja dan menetap di Wilayah Persekutuan.

Pembangunan hartanah itu kini dibuka untuk pendaftaran melalui portal rasmi Suria Pantai di www.suriapantai.com.

Untuk maklumat lanjut, pembeli yang berminat boleh berkunjung ke galeri jualan, Galeri ICE Pantai Sentral Park, yang terletak di Lot No 2, Tingkat 1, Jalan Pantai Sentral, Kuala Lumpur.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Oktober 2018 @ 8:16 AM