LAKARAN projek pembangunan bersepadu Pantai Sentral Park oleh IJM Land di Pantai Dalam.
LAKARAN projek pembangunan bersepadu Pantai Sentral Park oleh IJM Land di Pantai Dalam.

Kuala Lumpur: Pantai Sentral Park, perbandaran bersepadu yang dibangunkan melalui kerjasama IJM Land dan Amona Development menawarkan projek hartanah kediaman dan komersial yang berlatarkan alam semula jadi.

Projek yang terletak bersebelahan dengan hutan rizab Bukit Kerinchi seluas 80.84 hektar itu bertujuan untuk membina semula landskap Pantai Dalam bercirikan bandar hijau di tengah kesibukan kota raya.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Datuk Soam Heng Choon berkata, Pantai Sentral Park terdiri daripada 13 plot tanah yang dibahagi kepada tujuh fasa untuk segmen kediaman dan baki selebihnya adalah bangunan komersial.

Menurutnya, projek perbandaran yang meliputi kawasan seluas 23.47 hektar itu mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM5.6 bilion dalam tempoh 10 hingga 15 tahun.

“Pantai Sentral Park satu-satunya perbandaran urban dalam rimba di Kuala Lumpur dapat menampung populasi lebih dari 20,000 penduduk apabila siap.

“Ia direka khusus bagi mengintegrasikan kediaman, pusat komersial dan rekreasi yang merangkumi komuniti perniagaan serta hiburan terbaik kepada orang ramai,” katanya majlis pelancaran persimpangan bertingkat Pantai Sentral, di sini.

Soam berkata, pembangunan bersepadu sentiasa menjadi keutamaan jangka panjang bagi IJM Land dalam merancang sesebuah bandar seperti mengambil kira perkembangan penduduk dan akses jalan.

Menurutnya, pengenalan dan pembukaan persimpangan bertingkat Pantai Sentral adalah tepat pada waktunya yang akan memberi lebih kemudahan dan akses trafik kepada penghuninya.

Ia juga adalah sejajar dengan janji syarikat menyediakan kemudahan dan prasaranan yang lengkap sebelum pembeli berpindah masuk.

“Pada suku pertama 2019, kami akan menyerahkan 211 unit fasa pertama bagi projek kondominium Inwood Residences sebagai kumpulan penduduk pertama di situ.

“Untuk fasa berikutnya, Secoya Residences dengan kapasiti 243 unit kediaman pula dijangka siap dalam tempoh beberapa bulan selepas itu,” katanya.

Selepas Inwood Residences dan Secoya Residences, pembangunan fasa berikutnya juga akan membabitkan kondominium dan bangunan pejabat serta komersial.

Selain itu, menara korporat juga akan didirikan yang akan menjadi mercu tanda bagi pembangunan berlatarkan alam semula jadi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Disember 2018 @ 9:40 PM