TENGKU Adnan (dua dari kanan) melihat model perumahan yang bakal dibangunkan.
TENGKU Adnan (dua dari kanan) melihat model perumahan yang bakal dibangunkan.
myMetro

Kuala Lumpur: Pihak pemaju bersetuju mengurangkan kos penjualan rumah mampu milik di Pantai Sentral Park di Bukit Kerinchi, di sini daripada RM300,000 kepada RM245,000 ke bawah untuk seunit.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, permintaan kementeriannya supaya merendahkan penjualan bagi seunit rumah mampu milik di kawasan itu diterima baik pihak IJM Land Berhad dan Kumpulan Amona.

“Sebanyak 896 unit rumah mampu milik dalam projek Pantai Sentral Park dijual dengan harga RM300,000 seunit, dan saya merayu agar harga itu dikurangkan dan pihak pemaju bersetuju menjual pada harga RM245,000 seunit ke bawah.

“Ini yang dilakukan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar untuk meminta pemaju supaya menjual unit rumah mampu milik dengan kos seminimum mungkin,” katanya dalam sidang media Majlis Pecah Tanah Persimpangan Bertingkat Pantai Sentral Park, di sini, semalam.

Katanya, usaha itu juga membantu golongan berpendapatan rendah dan kementeriannya berjaya mencapai 58 peratus daripada 80,000 unit rumah yang dimajukan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Mengulas lanjut mengenai projek Pantai Sentral Park, Adnan yakin usaha pembangunan hartanah hijau itu juga mampu mengurangkan masalah kesesakan lalulintas yang melanda di ibu negara setiap hari.

“Saya anggarkan kesesakan boleh dikurangkan sehingga 40 peratus apabila persimpangan Pantai Sentral Park di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) siap dibina pada 2018.

“Persimpangan ini berfungsi sebagai jalan utama yang menghubungkan bandar dengan hab komersial seperti Bangsar, Sunway, Subang dan Petaling Jaya,” katanya.

Turut hadir bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Ketua Setiausaha KWP Datuk Seri Adnan Md Ikshan, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, Pengerusi IJM Tan Sri Abdul Halim Ali, Ketua Pegawai Eksekutif IJM Datuk Soam Heng Choon dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Amona, Abdul Manaf Ahmad.

Pembangunan Pantai Sentral Park berkeluasan 23.5 hektar itu merangkumi tujuh fasa kediaman dan enam fasa komersial yang dijangka siap dalam tempoh 10 tahun serta mampu menampung 15,000 penduduk, Persimpangan Interchange Pantai Sentral Park yang bernilai RM52 juta dibina dengan jarak 2.8 kilometer bagi mempertingkatkan jalinan akses melalui lebuhraya NPE.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2016 @ 6:21 AM