TERTUDUH dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. FOTO Intan Nur Eliana Zakaria
TERTUDUH dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. FOTO Intan Nur Eliana Zakaria
Iskandar Shah Mohamed


Shah Alam: Ahli perniagaan warga India dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, selepas didapati bersalah mengedar lebih tiga kilogram dadah ketamin di KLIA, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ghazali Cha memutuskan demikian selepas berpuas hati dengan hujahan pihak pendakwaan dan mendapati kes pembelaan tertuduh, Mohammed Idrees Contractor, 57, hanya bersifat penafian semata-mata.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah iaitu ketamin seberat 3,993.7 gram di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 1, Balai Ketibaan Antarabangsa, Bangunan Terminal Utama KLIA, Sepang pada 7.30 pagi 23 Disember 2012.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Zuraidah Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam bela Wan Azwan Aiman.

Sembilan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan dipanggil untuk perbicaraan kes itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Julai 2016 @ 12:24 PM