Cheng Kui Fat, 29, (kiri) yang menghadapi pertuduhan mengedar dadah sebelum ini terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini meminda pertuduhan kepada memiliki dadah jenis ketamin. FOTO BERNAMA
Cheng Kui Fat, 29, (kiri) yang menghadapi pertuduhan mengedar dadah sebelum ini terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini meminda pertuduhan kepada memiliki dadah jenis ketamin. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Shah Alam: Bekas penjual buah yang menghadapi pertuduhan mengedar dadah, terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, meminda pertuduhan kepada memiliki dadah jenis ketamin.

Hakim Nurulhuda Nur'aini Mohamad Nor menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Cheng Kui Fat, 29, dari tarikh dia ditahan pada 18 Mei 2019.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan pelepasan antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 5.30 pagi, 18 Mei 2019.

Cheng sebelum ini didakwa mengedar ketamin seberat 1,730.6 gram dan didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39 (B) (2) akta yang sama iaitu gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah meminda pertuduhan kepada Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Nurulhuda Nur'aini ketika dalam penghakimannya berkata tiada bukti yang menyatakan tertuduh mengedar dadah tersebut dan tiada saksi yang mengatakan bahawa jumlah berat dadah yang ada padanya adalah untuk tujuan pengedaran.

"Tiada saksi yang dapat memutuskan bahawa berat dadah itu adalah untuk pengedaran dan mahkamah memutuskan bahawa pihak pembelaan telah berjaya mematahkan pertuduhan tersebut, bagaimanapun mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas kesalahan memiliki dadah jenis ketamin," katanya.

Sepanjang perbicaraan pihak pendakwaan memanggil tujuh saksi manakala pembelaan menerusi keterangan bersumpah tertuduh di kandang saksi.

Tertuduh diwakili Peguam Anwar Raof sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Heikal Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Ogos 2021 @ 2:22 PM