THANAKORN dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
THANAKORN dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Iskandar Shah Mohamed

Shah Alam: “Alasan tidak mengetahui kandungan dadah itu tidak masuk akal kerana tertuduh mempunyai akses sepenuhnya untuk membuka beg berisi kain sari berkenaan. Selain itu, mengapa tertuduh perlu transit terlebih dulu di Malaysia sedangkan boleh terus pulang ke negaranya,” kata Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Ghazali Cha.

Beliau berkata demikian sebelum menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang mak nyah warga Thailand yang didapati bersalah mengedar lebih satu kilogram dadah di Lapangan Terbang Antarabngsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang, tiga tahun lalu.

Terdahulu tertuduh, Thanakorn Sinsanoi, 25, yang juga pekerja seks kelihatan sugul ketika mendengar hujahan dan keputusan yang diterjemahkan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Thai.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah jenis methamphetamin seberat 1,333 gram di Cawangan Pemeriksaan Penumpang 2 Terminal Tambang Murah (LCCT), Balai Ketibaan Antarabangsa KLIA, kira-kira jam 1 pagi, 13 Julai 2013.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Thanakorn yang baru tiba dari India ditahan selepas membawa satu beg mencurigakan mengandungi barangan peribadi dan pakaian termasuk lapan bungkusan sari.

Pemeriksaan kemudian menemui lima bungkusan plastik lutsinar di dalam bungkusan sari itu yang kemudian disahkan kristal putih dadah Methamphetamin.

Ghazali dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati dengan keseluruhan hujahan pendakwaan dan mendapati kes pembelaan tertuduh hanya bersifat penafian semata-
mata.

“Tertuduh memberitahu bahawa dia pergi ke India untuk bekerja namun tiada dan mahu pulang semula ke Thailand dalam tempoh singkat.

“Watak seorang wanita yang mengarahkan tertuduh membawa beg itu adalah rekaan semata-mata kerana tertuduh gagal mengemukakan identiti sebenar termasuk nombor telefon wanita berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 10:25 AM