ANTARA pastri sentuhan Sabiha yang menjadi pilihan penggemarnya.
ANTARA pastri sentuhan Sabiha yang menjadi pilihan penggemarnya.
RESIPI jadi kegemaran ramai buat Sabiha teruskan langkah jual pelbagai jenis kek dan pastri.
RESIPI jadi kegemaran ramai buat Sabiha teruskan langkah jual pelbagai jenis kek dan pastri.
SABIHA teroka bidang kek dan pastri barat di daerah kecil.
SABIHA teroka bidang kek dan pastri barat di daerah kecil.
Kusyi Hirdan

Adakah orang Bentong mahu membeli tart lemon meringue? Namanya sendiri susah disebut dan tampak kebaratan. Ada yang berani? Atau mereka sekadar melihatnya dan menggeleng kepala?

Mungkin itu yang difikir kebanyakan orang terutama yang tinggal di perkampungan kecil. Ternyata apa yang terjadi adalah sebaliknya. Ia berlaku mungkin kerana selepas mereka merasa tart yang sedap ini. Penulis sendiri sudah merasanya. Rasa sekali, anda pasti mahukannya lagi! Ia sangat sedap dan tidak sukar disesuaikan dengan selera Melayu kita.

Keberanian wanita muda ini, Sabiha Aqilah Mohd Rafi memperkenalkan tart dan pelbagai kek, pai serta pastri di Bentong memang dikagumi.

Hari itu kami melihat aksinya di gerai - bagaimana dia dikerumuni pembeli. Dia menjaganya seorang diri, tetapi semua pelanggan dilayan sempurna. Tidak nampak gementar atau canggung. Sangkakan umurnya lagi muda, mungkin bawah 20 tahun kerana bertubuh kecil dan kurus. Rupanya dia berumur 24 tahun dan ibu kepada seorang anak lelaki berusia dua tahun.

Sabiha sudah sekitar lima tahun menjual kek, tart, pai dan biskut di pasar malam dengan resipi adunannya sendiri yang sedap-sedap belaka.

“Asalnya sekadar meninjau buku resipi dan dari situ timbul perasaan ingin mencuba. Tentu saja percubaan awal tak membuahkan hasil yang baik dan sempurna, tetapi saya tak hilang semangat. Lagi mahu mencuba dan mencuba,” katanya.

Orangnya berani dan tekad. Pada usia yang muda selepas habis Sijil Pelajaran Malaysia dia pernah menjual kek cawan dari rumah ke rumah dan kepada kawan-kawannya.

“Ada juga yang mahu beli. Waktu itu kek cawan yang saya buat paling biasa dan asas saja, maklum masih baru belajar. Tapi, saya sudah mula menjual. Kemudian saya ikut nenek ke pasar. Dia berniaga sayur, saya pula menjual kek cawan di sebelahnya. Apabila orang beli, rasa seronok sebab dapat duit sendiri,” katanya.

Itu mungkin pengalaman awal Sabiha berhadapan pelanggan yang pelbagai. Berasal dari Kampung Baru, Bentong, Pahang, anak ketiga daripada empat beradik ini mencuba pula membuat biskut. Bukan biskut yang biasa, tetapi yang bersaiz besar kerana dia sendiri sangat menggemari biskut Famous Amos.

“Saya sangat suka biskut itu, jadi saya cari resipi. Hasil awal tak menjadi. Ia keras sangat seperti batu. Tapi, saya teruskan juga mencari resipi dan mencuba banyak kali sehingga dapat resipi yang sedap dan sempurna,” katanya.

Selepas mendirikan rumah tangga pada usianya 21 tahun, dia mendapat galakan sepenuhnya daripada suaminya. Suaminya berpendapat, menjadi suri rumah tangga, menjaga suami dan anak tentu akan bosan sekiranya tidak ada perkara sampingan yang hendak dilakukan. Melihat minat mendalam si isteri, dia mencadangkan supaya mencuba nasib berniaga di pasar Ramadan.

“Pada 2011, saya mula berniaga kek di pasar Ramadan Bentong. Waktu itu dengan dengan hanya membuat beberapa kek. Memang ada yang kata tak ada siapa hendak membeli kek saya.

“Apatah lagi saya buat sesuatu yang kebaratan seperti tart lemon meringue, pai, tart tiramisu coklat, pavlova coklat dan lain-lain. Adakah orang Bentong yang nak makan? Apabila orang membeli dan jualan saya habis, memang itu pembangkit semangat,” cerita bekas pelajar Sekolah Menengah Ketari ini.

Ternyata, jiwa Sabiha sudah ke arah itu dan dia tidak berpaling lagi sebaliknya meneruskan langkahnya.

Sabiha mendapati hasil tangannya diminati ramai. Pelanggannya terdiri daripada pelanggan baru dan berulang apatah lagi harga yang ditawarkan sangat berpatutan.

“Harga yang saya jual tentu saja tak sama dengan harga jualan di Kuala Lumpur. Kena sesuaikan dengan suasana di Bentong walaupun sebenarnya barang mentah semuanya mahal belaka,” katanya.

Kini, Sabiha menghasilkan 25 jenis kek setiap kali berniaga di pasar malam. Antaranya red velvet, brownies pavlova, tart, pai, kek cawan, kek keju dan tiramisu.

“Saya seronok dan puas hati dengan apa yang saya buat sekarang. Saya berniaga hanya tiga kali seminggu. Ini memberi saya pendapatan. Masa kerja saya tentukan sendiri. Keluarga tak terabai, anak sentiasa bersama. Saya beroperasi dari rumah sendiri,” katanya.

Sabiha tidak menafikan keluarganya juga berasa hairan dengan minat yang kini menjadi pilihannya. Ini kerana hanya dia seorang dalam keluarga yang berminat pada bidang kek dan pastri seperti itu. Begitulah minat, boleh saja dipupuk asalkan ia memberi kebaikan.

Selepas hampir lima tahun berkecimpung dalam bidang ini, tentu sekali banyak pengalaman pahit manis yang dilalui Sabiha. Dia melihat arah aliran pelanggannya dan membuat kesimpulan, masyarakat semakin kurang mengunjungi pasar malam.

“Memang saya berharap dapat membuat jualan di tempat baru, tetapi sebenarnya sudah ramai yang tidak mengunjungi pasar malam sekarang mungkin kerana harganya tidak semurah dulu.

Apa yang boleh kami lakukan? Bahan mentah semua sangat mahal dan peniaga tidak ada pilihan lain selain perlu menaikkan harga jualan supaya mendapat sedikit keuntungan,” katanya.

Sabiha sendiri terus mengekalkan harga yang sama kerana tidak mahu membebankan pelanggan. Strategi yang dibuatnya ialah menjual pelbagai jenis kek dan pastri. Biar untungnya kecil, tetapi jualannya banyak.

“Untuk meningkatkan jualan, saya juga aktif berjualan secara dalam talian. Ini memudahkan pelanggan menempah tanpa mengira masa. Kek red velvet dan tart tiramisu coklat antara yang popular dalam kalangan pelanggan saya,” katanya.

Warga Bentong dan Pahang, boleh menghubungi Sabiha di Facebooknya: Sabiha’s cakes & pastries.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2016 @ 11:07 AM