TART keju mini.
TART keju mini.
TART keju Pablo yang mencetuskan fenomena.
TART keju Pablo yang mencetuskan fenomena.
SAKIMOTO (berdiri tiga dari kiri) bersama pasukan Pablo Malaysia melancarkan kedai pertamanya di negara ini
SAKIMOTO (berdiri tiga dari kiri) bersama pasukan Pablo Malaysia melancarkan kedai pertamanya di negara ini
Intan Mas Ayu Shahimi


Peminat tart keju di negara ini pasti tersenyum gembira apabila jenama Pablo yang terkenal di dunia membuka cawangan pertamanya di pusat beli-belah One Utama di sini.

Tart keju Jepun yang popular ini pernah mencetuskan fenomena selepas membuka kedai pertamanya di Jepun pada 2011. Konsep sehenti bagi makanan lazat berasaskan keju meliputi pelbagai jenis tart mini, manisan, pastri dan minuman klasik di sini, pasti menawan hati ramai.

Tart keju Pablo terkenal kerana intinya yang lembut dan pekat berkrim. Di Jepun, pelanggan boleh memesan kek keju Pablo dengan tekstur yang mereka gemari seperti stik ‘medium’ atau ‘rare’.

Menurut pengasasnya, Masamitsu Sakimoto, syarikat itu kini mempunyai 30 kedai di Jepun. Tart kejunya bukan saja menjadi kegemaran penduduk tempatan, tetapi menarik ramai peminat pastri luar negara.

Selain itu, Pablo juga mempunyai ramai peminat di bandar raya besar seluruh dunia termasuk Manila, Bangkok dan Jakarta. Malah sejak pembukaannya, ia sudah menjual enam juta tart keju klasiknya.

Di Malaysia, budaya makanan yang pelbagai kian meluas sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Semakin ramai meminati makanan baru dan mengikuti trend semasa, menjadikan Malaysia pusat menjamu selera yang popular.

Manisan pencuci mulut umpamanya, pelbagai hidangan luar negara menjadi pilihan peniaga dan ia terus berkembang dengan inovasi seiring selera rakyat negara ini.

Sekalipun banyak produk dan jenama makanan berasaskan keju di Asia dan Malaysia, namun Pablo menjanjikan kelainan.

“Pablo membawakan pengalaman menikmati tart keju segar yang baru dibakar, pastri enak, puding keju, biskut, minuman dan aiskrim lembut. Semua hidangan berasaskan keju dan cukup menyeronokkan untuk dicuba.

“Semua manisan ini boleh didapati dalam pelbagai perasa seperti asli (keju biasa), coklat dan matcha (teh hijau). Antara yang popular adalah tart keju, tart keju Matcha dengan Shiratama, tart keju coklat, tart keju premium, Pablo mini dan Pablo Kopi.

“Manakala minuman pula adalah Classic Cheese Tart Frute, Rich Mango Cheese Frute, Rich Berry Cheese Frute, Special Chocolate Frute dan Matcha dengan Shiratama,” katanya.

Komited untuk menghasilkan resipi tart keju terbaik dan belum pernah dinikmati sebelum ini, Sakimoto menghabiskan masa selama setengah tahun membangunkan produknya dengan matlamat mencipta resipi yang benar-benar sempurna.

“Kami mencipta istilah dalam bahasa Jepun ‘odorokashi’, yang bermakna manisan dengan elemen kejutan. Istilah ini menceritakan bahawa produk yang lazat sahaja tidak mencukupi dan mesti ada elemen kejutan, sama ada dari segi tekstur atau rupa.

“Selepas mencipta istilah odorokashi, saya terfikir, alangkah baiknya kalau dapat menghasilkan kek keju yang boleh dihidangkan dengan tekstur yang berlainan, seperti sepotong stik. Dari situlah, lahirnya resipi asal tart keju Pablo,” katanya.

Beliau diterbangkan khas dari Jepun untuk melancarkan cawangan pertama bersama pasukan pengurusan Pablo Malaysia. Majlis pelancaran disertai model antarabangsa Malaysia, Amber Chia dan cef selebriti, Cef Wan.

Sakimoto berkata, reka bentuk dapur terbuka dan konsep kedai yang unik diilhamkan untuk mencerminkan keistimewaan serta kepakaran syarikatnya dalam menghidangkan produk segar yang baru dibakar.

Pelanggan boleh melihat sendiri proses pengeluaran tart keju di depan mata mereka dan menikmati aroma tart yang baru dibakar.

Jelasnya, jenama ini diilhamkan oleh pelukis tersohor Pablo Picasso. Sebagaimana Pablo Picasso memberi sumbangan besar kepada dunia seni lukis, Sakimoto berhasrat untuk mewujudkan satu identiti yang kukuh dan berusaha membawa kejutan serta keseronokan kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 12:06 PM