Dain bersama Shaheizy pada lokasi penggambaran Interchange.
Dain bersama Shaheizy pada lokasi penggambaran Interchange.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Filem terbitan dua negara Malaysia dan Indonesia berjudul Interchange bakal ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Locarno Switzerland pada 5 Ogos ini.

Pengarahnya Dain Said berkata, dia bangga apabila filem itu ditayangkan di sana sekali gus diharap menjadi naratif kepada pengkarya lain.

"Sebenarnya perkara ini sudah dimaklumkan tiga minggu lalu, cuma pihak mereka tidak membenarkan ia dihebohkan sebelum festival itu dilancarkan. Bukan saja saya, malah pelakon lain pun teruja dan tak sabar menunggu reaksi penonton dan pengkarya di sana.

"Ini sesuatu yang bagus bukan saja untuk kerjaya saya tetapi juga industri perfileman tempatan. Saya berharap penayangan filem ini di sana dapat membuka mata penonton di sini apabila ia ditayangkan kelak pada awal tahun depan," katanya.

Dain yang juga pengarah filem Bunohan berkata, pemilihan karya itu membuktikan hasil kerja pengkarya Malaysia adalah bertaraf antarabangsa.

Festival berkenaan akan berlangsung mulai 3 Ogos hingga 13 Ogos ini.

Interchange menampilkan barisan pelakon hebat dari Malaysia dan Indonesia seperti Shaheizy Sam, Nicholas Saputra, Prisia Nasution, Iedil Putra, Nadiya Nisaa, Alvin Wong dan Chew Kin Wah.

Filem genre ‘thriller supernatural’ itu juga mendapat sesi tayangan tengah malam pada waktu tempatan di Piazza Grande, Locarno.

Lokasi itu mampu memuatkan seramai 8,000 penonton pada satu masa di ruang terbuka dan ditayangkan di layar gergasi untuk tatapan seluruh pengunjung festival itu.

Festival yang kali pertama diadakan pada 1964 itu pernah menampilkan pengarah-pengarah terkemuka seperti Claude Chabrol, Stanley Kubrick, Ang Lee, Alexandr Sokurov, Spike Lee, Abbas Kiarostami dan ramai lagi.

Ia bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air pada awal tahun depan.

Interchange diterbitkan Apparat dan dibiayai oleh Sonneratia Capital, Malaysia Digital Economy Corporation (MDec) dan Seeing Eye Films dengan kerjasama Perbadanan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Ia juga diterbitkan bersama penerbit Indonesia, Cinesurya.

Ia mengisahkan Detektif Man lakonan Shaheizy Sam bersama rakannya, Adam (Iedil Putra) yang juga jurufoto forensik, terbabit dalam satu kes pembunuh bersiri sehingga ia memberi igauan serta kesan amat mendalam kepada Adam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2016 @ 8:25 PM