SAM belum bersedia di kerusi pengarah.
SAM belum bersedia di kerusi pengarah.
Oleh Michelle Gun


Selepas tiga kali diangkat Bintang Pa­ling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), Shaheizy Sam kini mahu lebih serius dalam kerjaya lakonannya.

Pelakon filem Adnan Sempit itu ketika ditemui mendedahkan mula mempertingkatkan bakat lakonannya sejak tahun lalu.

“Saya mahu membawa kerjaya ke pering­kat lebih tinggi dengan hanya memilih filem dan pe­ngarah yang kreatif,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah ABPBH 2014 di UMW Toyota Motor, baru-baru ini.

Juara Bintang Paling Popular ABPBH 2014 itu akhirnya dapat membawa pulang kereta Toyota Camry Hybrid yang dimenanginya pada malam kemuncak yang berlangsung April lalu.

Baru selesai penggambaran filem Interchange arahan Pengarah Terbaik Festival Filem Malaysia 25, Dain Said, pelakon berusia 33 tahun itu sudah tidak sabar menanti naskhah itu ditayangkan di pawagam.

Memegang watak sebagai Detektif Man, Shaheizy berkata peluang untuk berlakon dalam filem berkonsepkan misteri, ngeri dan berunsur pembunuhan itu menyeronokkan.

“Saya berpuas hati dengan filem itu kerana konsep ceritanya menarik dan berbeza. Dalam filem itu, saya memegang watak sebagai seorang penyiasat dan tidak sabar menunggu tayangan filem itu,” katanya.

Shaheizy turut berganding dengan pelakon ternama Malaysia dan Indonesia iaitu , Iedil Putra, Nicholas Saputra, Prisia Nasution, Nadiya Nisaa, Chew Kin Wah, Alvin Wong dan Junad M Nor.

Dalam pada itu, Shaheizy berkata dia belum bersedia untuk mengarah filem namun berharap dapat melaksanakan impian itu suatu hari nanti.

“Pemikiran saya masih kebudak-budakan dan merasakan diri hanya mampu mengarah filem untuk golongan muda namun belum sesuai bagi karya dewasa.

“Buat masa ini, saya mahu fokus berlakon dan tidak mahu melakukan dua bidang serentak. Saya tidak menetapkan masa untuk menceburi bidang pengarahan namun impian itu memang ada,” katanya.

Mengulas kemenangan Bintang Paling Popular ABPBH 2014, Shaheizy berkata, hubungan artis dengan peminat amat penting bagi mengukuhkan kerjaya seni.

“Kalau ada peminat tegur di mana-mana, saya tidak kisah melayan mereka. Populariti tidak dapat dibeli dengan wang tetapi boleh diperolehi dengan menjaga hubungan baik dengan orang ramai,” jelasnya.

Pada majlis itu, hadiah disampaikan Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki disaksikan Timbalan Pengarang Kumpulan Berita Harian merangkap Penasihat 1 ABPBH 2014, Badrul Hisham Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH 2014 merangkap Pengarang Hiburan Berita Harian, Shamshul Azree Samshir.

Selain Shaheizy, turut menerima Toyota Vios adalah Md Yusof Saari, 29, selepas memenangi kategori Pembaca Bertuah ABPBH 2014.

Kemenangan itu sememangnya tidak pernah dijangkakan pegawai Jabatan Meteorologi itu kerana hanya menghantar satu borang penyertaan.

“Penyertaan itu sekadar suka-suka dan terkejut apabila menerima kiriman khidmat pesanan ringkas yang memberitahu saya dipilih sebagai pemenang kategori Pembaca Bertuah.

“Pada mulanya, saya ingat sindiket menipu dan menghubungi nombor itu untuk mendapatkan kepastian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 5:01 AM