MUHAMMAD Hafid menuang sos ke dalam botol.
MUHAMMAD Hafid menuang sos ke dalam botol.
MUHAMMAD Hafid bersama pembantu meletakkan label pada botol acar.
MUHAMMAD Hafid bersama pembantu meletakkan label pada botol acar.
MUHAMMAD Hafid (tengah) bersama ibunya, Amaruszati dan bapa, Mohd Azli menunjukkan produk keluaran syarikatnya.
MUHAMMAD Hafid (tengah) bersama ibunya, Amaruszati dan bapa, Mohd Azli menunjukkan produk keluaran syarikatnya.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Sos D’Silokeay bukan sebarang sos. Ia juga bukan sos untuk perapan, sebaliknya sos ekspres yang hanya mengambil jalan singkat dan mudah disediakan.

Berkonsepkan ‘buka, tuang dan hidang’ ternyata sos ilham Amaruszati Noor Rahim, 47, dan anak sulungnya, Muhammad Hafid Mohd Azli Lee, 26, menepati selera dan cita rasa masyarakat tempatan.

“Kami gunakan ‘tagline’ itu kerana ia tepat menggambarkan mudahnya menikmati makanan pada waktu yang sangat terhad.

“Tuang atas makanan atau gaul sehingga sebati mahupun jadikan sebagai sos pencecah. Mudah dan menjimatkan pada zaman segalanya mahukan yang pantas,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Alor Ara, Pekan, Pahang, baru-baru ini .

Berbekalkan modal RM10,000 untuk memulakan perniagaan sos Mac lalu, ternyata ia pilihan tepat selepas menerima sambutan menggalakkan pada karnival, pameran dan jualan di peringkat negeri mahupun kebangsaan.

Menurut Muhammad Hafid yang juga Penolong Pengurus Zati D’Hati Resources, syarikatnya mengeluarkan enam jenis sos pencecah D’Silokeay iaitu sos mangga asam boi, sos lemon masam manis, sos belimbing hitam, sos samkee (campuran sambal dan kicap nasi ayam), sos tiga rasa dan kicap jowo yang dijual RM10 sebotol.

“Saya dan umi teruja dengan sambutan diberikan dan ternyata pengeluaran hampir 14,000 botol sebulan belum dapat memenuhi permintaan pelanggan.

“Saya menggunakan Facebook sebagai cara memasarkan produk dengan lebih cepat selain melantik stokis dan ejen di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, Brunei dan Singapura,” katanya.

Selain itu, katanya, produk itu juga dipasarkan di Agro Bazaar, Pasaraya Darul Makmur dan Agro Mart sekitar Pahang.

“Walaupun edarannya masih terhad kerana masalah pengeluaran, saya ada strategi pemasaran tersendiri untuk memastikan kehendak pelanggan dapat dipenuhi,” katanya.

Amaruszati juga pemilik dan pengurus syarikat Zati D’Hati Resources yang terbabit dalam pengeluaran acar ikan masin talang dan ikan kurau di bawah jenama Acar Jutawan bermula 2014.

Kegigihan Amaruszati melaksanakan tugas dan tanggungjawab menguruskan perusahaannya dengan bantuan Muhammad Hafid dan suami, Mohd Azli Lee Abdullah, 57, membolehkan beliau menerima Anugerah Ikon Usahawan Wanita Pahang 2016 pada Festival Dari Wanita Kepada Wanita di Temerloh.

Selain acar ikan masin, syarikat itu kini menambah hampir 11 jenis acar termasuk acar bilis, acar buah-buahan, acar itam ikan masin, acar tahai (ikan salai Sarawak), acar sesar unjur (udang salai Sarawak) dan acar buah ikan masin bermula Mac lalu.

Muhammad Hafid berkata, Zati D’Hati Resources juga menghasilkan sambal itam belimbing dan sambal itam nanas yang mula mendapat sambutan ramai.

“Sambal itam nanas inovasi terbaru syarikat dan bahan mentah yang digunakan masih sama kecuali nanas menggantikan belimbing buluh.

“Begitu juga dengan acar sesar unjur dan acar tahai yang menggunakan bahan utama ikan dan udang salai dari Sarawak dalam usaha menarik pengguna di sana merasai keenakan Acar Jutawan,” kata pemegang Diploma Seni Kulinari di Sugarcraft Baking Academy Petaling Jaya, itu.

Menurutnya, syarikatnya dalam perancangan untuk mempelbagaikan produk seperti sambal itam roselle, sos durian, sos tempoyak dan sos lada hitam.

“Ketika ini kami sedang mengenal pasti pembekal bahan mentah dan berusaha memasuki pasar raya besar di seluruh negara bagi memudahkan urusan jualan dan pasaran,” katanya yang sentiasa menyertai pelbagai pameran dan jualan pengusaha industri kecil sederhana (IKS) dari semasa ke semasa.

Katanya, pegawai Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian, SIRIM dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut turun padang ke bengkelnya untuk melihat perkembangan selain memberi sokongan serta khidmat nasihat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Julai 2016 @ 5:03 AM