IKAN  bakar petai punya keunikan tersendiri.
IKAN bakar petai punya keunikan tersendiri.
Teks dan gambar Ainal Marhaton Abd Ghani


Memasuki ‘ruang legar’ Restoran Ana Ikan Bakar Petai di Tanjung Lumpur, Kuantan, bau semerbak rempah dan sos pencecah ikan bakar disulami dengan wangian daun pisang pasti membangkitkan selera pengunjung.

Ternyata penulis sendiri tidak dapat mengelak dari menjengah dapur yang sengaja dibina di bahagian hadapan restoran bagi memudahkan pelanggan membuat pilihan pelbagai makanan laut yang dibakar menggunakan arang.

Pelbagai jenis ikan termasuk kerapu, siakap, pari, kembung, selar hijau, aji, cencaru dan kerisi boleh dipilih.

Melihat jumlah pengunjung, ternyata hidangan ikan bakar di restoran itu antara menu popular.

Pengurusnya, Mohd Fairuz Deraman berkata, Tanjung Lumpur memang dikenali kawasan terkenal dengan hidangan ikan bakar.

“Restoran ini sentiasa menjadi tumpuan ramai kerana kami menggunakan ikan segar yang ditempah daripada nelayan dan pemborong ikan sekitar Kuantan.

“Sambalnya daripada gabungan rempah yang dihasilkan pemilik restoran memberi rasa dan aroma berbeza berbanding kedai atau restoran lain. Petai akan diletak pada setiap bungkusan ikan yang dibakar,” katanya.

Menurutnya, antara 80 hingga 100 papan petai digunakan setiap hari.

“Ini ‘trademark’ kami. Dalam setiap ikan bakar sambalnya dicampur serikan dengan petai dan itu yang menerbitkan bau yang enak dengan aroma yang menusuk hidung.

“Ikan bakar disajikan bersama dua pencecah iaitu kicap dan air asam, secara langsung memberi pengunjung memilih pencecah kegemaran,” katanya.

Menurutnya, pada kebiasaannya, pelanggan akan memesan ikan bakar bersama nasi putih bersama hidangan sampingan seperti tomyam putih, kailan ikan masin, lonjak masak pedas, ketam telur masin dan kerabu mangga.

Selain itu, katanya, satar ikan yang dibungkus dalam daun pisang juga menjadi pilihan pelanggan sebagai hidangan sampingan.

Menurutnya, setiap hari sebanyak 600 biji satar dihasilkan bagi memenuhi permintaan pelanggan.

“Setiap hari sebanyak 12 kilogram isi ikan tamban, selayang dan selar kuning dibeli dari kilang keropok berdekatan untuk menghasilkan satar,” katanya.

Restoran juga menyediakan pelbagai pilihan masakan panas beraneka jenis nasi, mi, kuey teow, sup, sayur-sayuran, ayam dan daging.

Restoran yang dibuka sejak dua tahun lalu itu beroperasi setiap setiap hari mulai jam 1 petang hingga 12 malam.

Bagi menimbulkan suasana santai dan berkonsepkan restoran keluarga, pemiliknya menyediakan lapan wakaf serta taman permainan mini untuk kanak-kanak.

“Restoran juga mampu menempatkan sehingga 500 pelanggan pada satu-satu masa selain kemudahan surau dan tempat letak kenderaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 1:13 PM