AZIZUL (kanan) dan pengurus restoran, Xiang menunjukkan hidangan ikan patin.
AZIZUL (kanan) dan pengurus restoran, Xiang menunjukkan hidangan ikan patin.
Zaitie Satibi


Menikmati ikan patin yang dimasak asam pedas, kari, sos cili Thai, stim halia dan stim sos kicap di Volcano Kitchen Village, menyingkap sisi lain hidangan ikan sungai berkenaan yang sinonim dengan gulai tempoyak.

Begitulah variasi dalam masakan ikan patin yang cuba diketengahkan restoran berkenaan yang baru tiga bulan beroperasi di Shaftsbury Square, Cyberjaya.

Malah, kepelbagaian juadah ikan patin ini juga memberi peluang kepada mereka yang tidak gemarkan masakan gulai tempoyak untuk menikmati keenakan ikan berkenaan.

Ketua bahagian dapur restoran berkenaan, Sous Chef Azizul Akhmam Abdul Wahab Sakrani berkata, ikan patin sebenarnya boleh dipelbagaikan dengan resipi lain, namun tetap enak dinikmati tanpa menghilangkan keaslian rasa ikan berkenaan.

Menurutnya, bekalan ikan patin segar diperoleh dari Temerloh, Pahang, bagi menjamin kepuasan kepada pelanggan terutama penggemar tegar ikan sungai itu.

“Semua ikan patin kami ambil daripada pembekal di Sungai Pahang bagi menjaga kualiti rasanya dan paling penting dapat mengekalkan kesegaran bahan mentah ini. Ikan patin yang tidak segar isinya mudah hancur apabila dimasak, selain kemanisannya juga hilang.

“Kami perkenalkan banyak jenis masakan ikan patin kerana mahu menawarkan kelainan kepada pelanggan dan berharap ia dapat diterima penggemar ikan patin sekali gus meningkatkan permintaan terhadap ikan patin Temerloh,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun.

Apapun, gulai tempoyak ikan patin tetap menjadi menu popular di Volcano Kitchen Village apabila juadah itu mendapat permintaan paling tinggi daripada pelanggan.

Gulai tempoyaknya berkuah pekat seimbang dengan rasa masam, manis, masin dan pedas. Paling penting, ikan patinnya tidak hanyir.

Selain ikan patin, Volcano Kitchen Village juga menawarkan masakan lain berasaskan udang, sotong, ayam dan daging serta sayuran yang dimasak dengan gaya Cina Muslim secara ala carte. Bagi yang menjaga perbelanjaan makanan mereka, pihak restoran turut memperkenalkan hidangan set terdiri nasi putih, acar sayur, keropok papadum dan pilihan lauk sama ada ikan patin, ayam atau sotong.

Pelanggan boleh mencuba ayam goreng salut tepung tanpa tulang dimasak bersama sos ekstrak yis, Marmite yang beraroma wangi serta mempunyai rasa manis dan masin.

Malah, sotong goreng tepungnya juga sangat sedap dan rangup kerana digaul bersama nestum, manakala udang masak sos mentega memiliki rasa yang mantap dengan kuahnya yang lemak berkrim dan harum kerana digoreng bersama daun kari.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sajian Makanan dan Minuman Ikhasas Sdn Bhd. Tengku Datuk Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah berkata, pihaknya menyediakan restoran berkonsep santai dengan masakan yang mudah diterima masyarakat tidak kira bangsa pada harga berpatutan.

Malah katanya, persekitaran restoran yang tenang mendamaikan juga sesuai untuk menjamu selera bersama keluarga serta rakan berkumpulan.

Bagi mereka dari sekitar Lembah Klang yang berhajat menikmati kepelbagaian masakan ikan patin di restoran berkenaan boleh menggunakan Lebuhraya Maju (MEX) ke Cyberjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Februari 2017 @ 5:01 AM