AKSI seorang peserta ketika menyiapkan hasil ciptaannya.
AKSI seorang peserta ketika menyiapkan hasil ciptaannya.
BERGAMBAR kenangan selepas keputusan kemenangan diketahui.
BERGAMBAR kenangan selepas keputusan kemenangan diketahui.
myMetro

Sebanyak 20 sekolah disenarai pendek untuk bertanding di peringkat kebangsaan pertandingan Paddle Pop Young Builders Award 2016 yang berlangsung selama tiga hari, baru - baru ini.

Acara tahunan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan itu menyaksikan pelbagai pasukan yang terdiri daripada empat murid dari setiap sekolah rendah berentap di peringkat kebangsaan bagi meningkatkan kesedaran mengenai alam sekitar dalam kalangan murid sekolah rendah.

Pertandingan yang memasuki tahun keempat itu berjaya menarik hampir 1,000 penyertaan berbanding hanya 250 tahun lalu.

“Sambutan menggalakkan ini jelas menunjukkan Paddle Pop Young Builders Award berjaya menarik minat dan imiginasi kanak-kanak dan sekolah.

“Pembabitan mereka melalui aktiviti menggunakan bahan kitar semula dapat membantu murid lebih peka kepentingan alam sekitar di samping membantu menyelamatkan bumi,” kata Ketua Kategori Wall’s Ais Krim, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd, Shawn Tan,

Pertandingan peringkat kebangsaan di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur itu turut dihadiri Pengarah Bahagian Ko-Kurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Rozainum Ahmad.

Program dilancarkan secara rasmi pada awal tahun oleh Timbalan Menteri Pendidikan I Datuk P Kamalanathan.

Pertandingan Paddle Pop Young Builders Award dibuka kepada murid tahun empat, lima dan enam dengan sekolah digalak menghantar penyertaan yang disertakan lakaran karya seni 3D yang dibuat menggunakan bahan kitar semula berdasarkan tema diberikan.

Sebanyak 20 sekolah disenarai pendek dan diminta menghantar pasukan untuk membina replika 3D berdasarkan lakaran berkenaan dalam tempoh tiga hari menggunakan bahan kitar semula seperti batang ais krim Paddle Pop, pembalut Paddle Pop, surat khabar, kadbod dan botol plastik.

Bagi memberikan inspirasi kepada mereka menyelamatkan alam sekitar, Paddle Pop turut menyediakan video animasi pendek berdasarkan tema 2016, Membaikpulih Kota Harapan Atlantos.

Bagi merangsang daya kreativiti, mereka dibawa melawat Aquaria KLCC.

Pada pertandingan kebangsaan ini, 20 karya seni yang dihasilkan dihakimi wakil Kementerian Pendidikan, Tan serta Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA, Profesor Madya Jalaini Abu Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Julai 2016 @ 12:54 PM