SEORANG pemenang bersama hadiah kemenangan.
SEORANG pemenang bersama hadiah kemenangan.
MURID yang muncul sebagai pemenang.
MURID yang muncul sebagai pemenang.
Oleh Rosman Shamsudin


Bagi membantu murid membina ayat dengan tepat dan gramatis, sekali gus memartabatkan bahasa Melayu, Pejabat Pendidikan Daerah Batang Padang dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menganjurkan Pertandingan Sahibba di Sekolah Kebangsaan (SK) Aminudin Baki, Slim River, Perak, baru-baru ini.

Pertandingan peringkat daerah itu membabitkan 48 murid daripada 16 sekolah, termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kotoyang, Tanjung Malim dan SK Pos Tenau, Ulu Slim.

Setiap murid mempamerkan kemahiran menyusun huruf atau ubin membentuk kosa kata dalam pertandingan berkenaan.

Murid SK Pendeta Za’ba, Tapah Road, Muhd Syakir Abdul Halim dinobatkan juara pertandingan manakala rakannya Nur Kamaliah Darwisyah di tempat kedua dan ketiga adalah peserta tuan rumah, Aina Syakirah Alias.

Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Batang Batang, Bahagian Kokurikulum Akademik, Mohd Zailani Mohd Nor berkata, pertandingan sahibba mampu mencabar minda kerana perlu membina perkataan pada masa ditetapkan dengan perkataan terdapat dalam Kamus Dewan Bahasa.

Menurutnya, murid yang menyertai pertandingan perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan kosa kata melalui pembacaan bahan ilmiah dan sentiasa menggunakan kamus sebagai bahan rujukan.

“Permainan ini mampu meningkatkan kemahiran bahasa iaitu membentuk perkataan dan ilmu matematik melalui pengiraan markah yang tertera pada ubin bagi membolehkan peserta memperoleh markah setiap perkataan dibentuk.

“Ia juga satu platform murid terbabit mencabar kemampuan masing-masing serta menjana pemikiran pantas untuk berfikir,” katanya.

Peserta dari SK Trolak Utara, Mohd Haikal Husni Nasii, 12, berkata permainan sahibba melatihnya berfikir secara pantas.

“Untuk memahirkan diri dalam permainan bukan mudah dan banyak perkara perlu dilakukan, antaranya menjadikannya sebagai permainan sampingan.

“Guru hanya sebagai fasilitator, namun murid perlu memainkan peranan utama. Justeru, banyakkan membaca terutama bacaan ilmiah,” katanya.

Peserta dari SK Bidor 2, Amir Hamzah Mahadzar, 12, berkata kemahiran membina perkataan boleh mengukuhkan lagi pengetahuan mengenai perkataan, sekali gus membantu untuk menulis karangan.

“Ini satu kelebihan terutama membantu saya untuk mempelbagaikan penggunaan perkataan baru dalam penulisan, sekali gus menjadi panduan baru kepada saya juga rakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2015 @ 10:08 AM