PESERTA menunjukkan aksi robot mereka.
PESERTA menunjukkan aksi robot mereka.
Fazurawati Che Lah


SHAKS Battle of Robots yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Hajjah Kalsom, Kuantan, Pahang, baru-baru ini, meriah apabila sebanyak 46 penyertaan dari seluruh negara berentap dalam acara berkenaan.

Pertandingan anjuran Kelab Robotik, SHAROC sekolah berkenaan itu mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang bersama Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), Kuantan, Pahang.

Lebih menarik, pelajar turut menjadi hakim untuk menilai kecanggihan robot yang dipertandingkan pada acara berkenaan.

Pertandingan robotik itu mempunyai tiga kategori iaitu Lego Education, Tug of War dan Sumo yang terbuka kepada sekolah rendah, menengah, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), sekolah swasta dan Kolej Vokasional.

Pertandingan itu bertujuan menggalakkan murid untuk menguasai kemahiran dalam salah satu bidang Sains dan Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), selain mencungkil bakat serta kreativiti pelajar.

Pertandingan juga bertujuan untuk menarik agensi luar dalam pelaksanaan pendidikan khususnya ke arah mengembangkan potensi dalam kalangan murid peringkat sekolah rendah mahupun menengah.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah merangkap Ahli Parlimen Indera Mahkota.

Saifuddin berkata, beliau teruja dengan bakat yang ditonjolkan pelajar dalam bidang kokurikulum sains dan teknologi itu.

Beliau berharap pertandingan seperti itu diteruskan pada masa akan datang bagi melahirkan lebih ramai pelajar yang berbakat besar dalam bidang robotik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 10:40 AM