ROSBERG menjulang trofi dimenangi.
ROSBERG menjulang trofi dimenangi.
AFP

Barcelona: Nico Rosberg menamatkan rentak kemenangan rakan sepasukan Mercedes AMG PETRONAS, Lewis Hamilton pada kejuaraan pemandu Formula Satu tahun ini apabila melakukan pemanduan hampir sempurna pada Grand Prix Sepanyol, semalam.

Pemandu Jerman berusia 29 tahun itu, yang tewas di tangan Hamilton dalam semua empat perlumbaan pertama tahun ini, mendahului menerusi petak utama ke-16 kariernya hingga ke bendera penamat dan keunggulannya hanya terjejas kerana hentian pit.

Ia kemenangan pertamanya sejak Grand Prix Brazil November lalu dan kesembilan sepanjang kariernya, sekali gus mengurangkan pendahuluan Hamilton daripada 27 mata kepada 20.

Hamilton, yang merudum dari tangga kedua ke tangga ketiga pada permulaan, bangkit dengan kemahiran tinggi, ditambah dengan strategi tiga hentian pit untuk berakhir di belakang Rosberg dan meraih satu lagi penamat satu-dua pasukan Mercedes.

Juara empat kali, Sebastian Vettel dari Jerman yang memintas Hamilton ketika awal perlumbaan, sekadar menamatkan aksi di tangga ketiga bersama Ferrari dan berada di depan pemandu Finland Valtteri Bottas dari Williams manakala Kimi Raikkonen di tempat kelima.

Pelumba Brazil Felipe Massa menamatkan saingan di kedudukan keenam diikuti pemandu Australia Daniel Ricciardo dari Red Bull serta Romain Grosjean dari Lotus.

Pelumba tempatan, Carlos Sainz yang memandu untuk pasukan Toro Rosso, berada di kedudukan kesembilan diikuti Daniil Kvyat dari Red Bull di tangga ke-10.

Perlumbaan semalam menandakan satu lagi kekecewaan buat pasukan McLaren Honda apabila terus ketandusan mata setakat ini. Pelumba Sepanyol Fernando Alonso terpaksa menamatkan aksi lebih awal apabila jenteranya berdepan masalah brek yang menyaksikannya hampir terbabit kemalangan dengan kakitangan pasukan. Seorang lagi pemandu McLaren Honda, Jenson Button di tangga ke-16.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 7:35 AM