Oleh Rizar Mohd Noor

[email protected]

Johor Bahru: Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) mengharamkan seumur hidup kumpulan penyokong yang digelar Inter Johor Firms (IJF) daripada memasuki Stadium Tan Sri Hassan Yunus untuk menyaksikan pasukan negeri Johor bersaing pada saingan Liga Malaysia (Liga M).

Tindakan tegas PBNJ itu selepas mendapat persetujuan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim begitu lantang mengutuk apa juga keganasan dalam kalangan penyokong sekali gus boleh mencemar imej bola sepak Johor.

Bagaimanapun, langkah untuk menghalang kumpulan itu memasuki stadium pada setiap perlawanan membabitkan pasukan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada saingan Liga Super dan Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) di saingan Liga Perdana bukan disebabkan insiden yang tercetus kelmarin ketika aksi separuh akhir pertama membabitkan Harimau Malaya dan Vietnam pada saingan Piala AFF.

Sebaliknya, Tunku Ismail yang juga Presiden PBNJ mengutuk sekeras-kerasnya mana-mana organisasi yang mengamalkan idealogi ‘hooligan’ dalam menyatakan sokongan mereka terhadap pasukan.

“Pihak yang bertanggungjawab memberi imej buruk dan memalukan negeri Johor akan ditangani dengan segera kerana kumpulan pelampau seperti ini tidak diiktiraf sebagai warga Johor.

“Saya amat kecewa dengan segelintir penyokong yang membuat kekacauan dan mereka mencetus nama buruk dan perlu dikutuk sekeras-kerasnya oleh seluruh rakyat Johor,” kata Tunku Ismail dalam kenyataan di laman rasmi JOHOR Southern Tigers, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 7:19 AM