BARCOS digelar Piratas.
BARCOS digelar Piratas.
RANGEL bakal diserap ke Johor DT II.
RANGEL bakal diserap ke Johor DT II.
Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Walaupun belum ada pengesahan rasmi daripada Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) namun ada ura-ura pemain import Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Paulo Rangel akan diserapkan ke skuad Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Pada sesi pertemuan antara Penaung Diraja PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama penyokong kelmarin, memang ada rancangan membawa masuk import baru dan tiga pemain iaitu dua dari Argentina dan seorang dari Brazil sudah disenarai pendek.

Pada sidang media kelmarin, Tunku Ismail menegaskan corak permainan Rangel berbeza dan tak sama dengan falsafah bola sepak diterapkan Johor DT yang lebih menekankan hantaran pendek.

“Pemain sasaran kami seorang yang berpengalaman, menjaringkan gol di mana saja dia pergi, berasal dari Argentina, bermain di Brazil. Nama samarannya adalah Piratas.

“Apa pun ia masih dalam perbincangan walaupun pemain itu bersetuju untuk ke Johor tapi kami perlu tunggu keputusan kelab beliau. Jika permintaan kelabnya tinggi, kami terpaksa ubah perancangan malah kami tidak boleh berbelanja lebih dan menjejaskan kewangan kelab kerana kewangan kelab paling penting.

“Jika usaha untuk mendapatkan pemain itu tidak kesampaian kami akan cuba menawarkan kepada bekas pemain Manchester City dan pernah mewakili Brazil manakala pilihan ketiga pemain yang pernah bermain di Lyon, Perancis,” kata Tunku Ismail yang dimuatnaik di laman rasmi Johor Southern Tigers.

Walaupun tidak mendedahkan nama ketiga-tiga pemain itu, difahamkan nama pemain dikaitkan menyertai Johor DT sama ada Hernan Barcos dari Argentina, Lisandro Lopez (Argentina) atau Joao Alves de Assis Silva (Brazil) dan apa jua keputusan untuk mengambil salah seorang tiga pemain itu perlu didaftarkan sebelum tarikh tamat pendaftaran pemain pada 14 Februari ini.

Dalam pada itu, Tunku Ismail mengumumkan bekas pemain import Johor DT, Luciano Figueroa akan bersama skuad itu bukan sebagai pemain tetapi membantu ketua jurulatih Mario Gomez.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 9:05 AM