Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Jorge Pereyra Diaz tidak dapat diturunkan bagi membantu Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada saingan suku akhir pertama Piala AFC berdepan kelab dari Hong Kong South China FC di Stadium Larkin, 25 Ogos ini.

Ini berikutan pemain import dari Argentina itu sedang mengikat kontrak secara pinjaman bersama kelab Altetico Independiente dan hanya akan menyertai Johor DT, November depan.

Bagaimanapun, Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, tempat yang dikosongkan Diaz akan diisi pemain Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II) Leandro Velazquez.

“Tidak adil untuk simpan Diaz dan beraksi hanya dua atau tiga perlawanan saja dan lebih baik pemain itu menyertai kelab di Argentina bagi memastikan dia mendapat pendedahan perlawanan.

“Saya rasa PBNJ bersikap adil terhadap Diaz dengan memberi peluang kepada pemain itu mendapat pendedahan terbaik dan akan kembali menyertai Johor DT dengan lebih mantap.

“Velazquez sudah didaftarkan untuk beraksi pada perlawanan Piala AFC menentang South China FC dan ia amat penting bagi menguatkan skuad itu mengharungi saingan yang saya anggap cukup getir,” kata Tunku Ismail.

Tunku Ismail juga menegaskan sedang mengintai pemain kelab Liga Utama Amerika Syarikat (MSL), Vancouver Whitecaps FC, Sebastian Fernandez, namun belum membuat keputusan memandangkan kos untuk membawa masuk pemain itu agak tinggi.

Katanya, corak permainan Fernandez seakan-akan pemain FC Barcelona, Luis Suarez dan jika semua urusan berjalan lancar pemain itu berkemungkinan digandingkan bersama Diaz di bahagian serangan.

Beliau menambah, langkah untuk mendapatkan khidmat pemain import baru perlu dirancang awal bagi menggantikan Luciano Figueroa yang akan bersara dan menyertai Johor DT selaku penolong jurulatih di bawah Mario Gomez, manakala Patricio Rodriguez kini berada di Argentina untuk mendapat rawatan lanjut dan akan dilepaskan ke kelab lain sebaik pulih daripada kecederaan.

“Mengenai pemain tempatan baru yang akan dibawa masuk pada musim depan, ada dua pemain dari Pahang, Kedah, Terengganu dan Selangor sudah berjumpa dengan saya dan berminat untuk menyertai Johor DT.

“Kemungkinan juga saya akan mengambil semula Nurul Azwan Roya dan akan menyertai Johor DT II, malah sudah ada perancangan, tiga atau empat pemain Johor DT akan dilepaskan atau beraksi bersama pasukan Liga Perdana itu, manakala empat atau lima pemain Johor DT II akan dinaikkan ke Johor DT,” kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2015 @ 11:27 AM