LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). FOTO arkib NSTP
LAPANGAN Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Nama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) perlu dikekalkan berikutan ia sudah didaftarkan sebagai sebahagian daripada kod rasmi KLIA di bawah Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, klia2 sudah didaftarkan sebagai sebahagian daripada kod rasmi KLIA, iaitu ‘KUL’.

“Ia adalah tidak perlu, tidak praktikal dan tidak tepat untuk menamakan semula klia2.

“Nama ini tidak boleh diubah berikutan klia2 juga jenama digunakan sejak penubuhannya selama dua tahun” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, klia2 menjadi sebahagian daripada rancangan kerajaan untuk menjadikan negara ini sebagai hub penerbangan di rantau Asia Tenggara dan peringkat antarabangsa.

“Bagaimanapun, kerajaan terbuka mendengar cadangan daripada syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia berhubung penjenamaan semula klia2 kepada Terminal Tambang Murah 2 (LCCT2) dalam usaha membawa lebih ramai pelancong ke negara ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 6:47 PM