Norizuan Shamsuddin


Kuala Lumpur: Anda memandu di Lebuhraya Persekutuan dan tiba-tiba muncul burung unta berlari. Memang ia jarang berlaku dan semestinya jadi perhatian serta topik bualan paling hangat hari ini.

Haiwan itu berlari di lorong kanan arah ibu kota berdekatan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Universiti, di sini, petang tadi.

Pemilik akaun Instagram menggunakan nama Jeff Sandhu pastinya jadi sebutan kerana dia memuat naik rakaman video berdurasi 25 saat memaparkan haiwan itu berlari sehingga menjadi ‘viral’.

Difahamkan, kejadian berlaku pada 3 petang dan haiwan berkenaan sudah ditangkap oleh pemiliknya kira-kira 4.30 petang.

Seorang saksi enggan dikenali berkata, dia melihat haiwan itu terlepas dari sebuah lori ketika berada berdekatan Universiti Malaya.

Katanya, haiwan berkenaan dilihat melompat dari kenderaan terbabit

"Burung unta itu berlari dilorong paling kanan lebuhraya berkenaan dan menjadi tumpuan pengguna jalan raya.

"Bagaimanapun, seorang lelaki yang menaiki kenderaan yang membawa haiwan berkenaan dipercayai pemiliknya cuba mencari haiwan berkenaan.

"Burung unta itu berjaya ditangkap selepas dikepung oleh orang ramai sebelum diambil oleh lelaki berkenaan," katanya ketika ditemui.

Katanya, dia difahamkan haiwan berkenaan dibawa pulang ke ladang pemilik terbabit terletak di Semenyih, Kajang.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Perhilitan Semenanjung, Hasnan Yusop ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan dari orang awam mengenai burung unta yang terlepas berkenaan, kira-kira jam 5 petang.

Bagaimanapun, katanya, haiwan berkenaan bukan terletak dibawah kawalan jabatan terbabit

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Jun 2016 @ 12:09 AM
Burung unta yang terlepas berlari di Lebuhraya Persekutuan.
Burung unta yang terlepas berlari di Lebuhraya Persekutuan.