Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Insiden burung unta berlari di lorong kanan Lebuhraya Persekutuan baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi orang ramai dan tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai bahan jenaka.

Terbaru, video berdurasi 20 saat memaparkan lelaki yang memakai kostum ayam berlari di lebuhraya berkenaan termasuk di lorong tengah ketika kenderaan dilihat bergerak perlahan kerana kesesakan.

Lelaki berkenaan dipercayai mengajuk insiden burung unta yang bernama Chickaboo sebelum ini dan video itu viral di Facebook (FB) apabila dimuat naik pemilik akaun dengan nama Jebat Hawau.

Sehingga berita ini ditulis, video berkenaan yang dipercayai dirakam pengguna lebuhraya ditonton lebih 27,000 kali dan dikongsi sebanyak 533 kali serta ramai yang menganggap tindakan lelaki itu sebagai lucu.

Bagaimanapun, ada juga yang mengkritik jenaka itu kerana dianggap cuba meraih perhatian.

"Mintak (minta) 'attention' (perhatian)... kesian (kasihan)....," kata pengguna FB, Mohamad Firdaus Ibrahim Wong.

"Mmg (memang) kurang keje (kerja) le (lah) dorg (mereka) ni," kata Azie Eika Apkaw.

"Rakyat Malaysia kan banyak menganggur, sekurang-kurangnya dia ada kerja nak buat," kata Mei Man.

Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya, Tan Sri Lee Lam Thye turut menganggap tindakan itu sebagai kebudak-budakan dan membahayakan nyawa.

"Saya rasa perbuatan ini adalah 'childish' (kebudak-budakan) dan saya rasa tidak perlu kerana walaupun untuk berjenaka atau bermain-main, dia tidak patut gunakan highway (lebuhraya).

"Dia sudah ganggu kelancaran trafik dan bukan itu saja, dia turut membahayakan diri sendiri. Saya benar-benar rasa tidak patut dibuat sejak awal.

"Jika dia mahu membuat persembahan jenaka, dia perlu mencari tempat yang lebih sesuai untuk buat persembahan dan bukannya sepanjang lebuhraya dan mengganggu trafik," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nazri Hussain ketika dihubungi enggan mengulas mengenai rakaman berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 11:10 PM
Lelaki memakai kostum ayam berlari di Lebuhraya Persekutuan.
Lelaki memakai kostum ayam berlari di Lebuhraya Persekutuan.